Saman Perlanggaran Kontrak, A Aida Harap Peroleh Kemenangan

Share

Penerbit Datuk A Aida, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada jam 8.40 pagi bagi mengikuti keputusan kes saman pelanggaran kontrak perjanjian membabitkan syarikat produksi diasaskannya, A Aida Production Sdn Bhd dengan pelakon Amelia Henderson

A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, hadir ditemani rakannya.

A Aida selaku plaintif yang mengemukakan saman terhadap Amelia, Jun tahun lalu, berharap agar kemenangan berpihak kepadanya.

“Doa yang baik-baik sahaja… Semoga beroleh kemenangan,” katanya kepada MH.

Sementara itu, Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson selaku defendan, tiba lebih awal dengan ditemani ahli keluarga.

“Saya mahu bercakap dengan peguam saya terlebih dahulu (mengenai keputusan bakal diterima hari ini),” katanya ketika ditemui.

Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk A Aida dan tiga saksi defendan termasuk Amelia memberi keterangan.

Ketika perbicaraan berlangsung, pengurus produksi A Aida Production dilaporkan memberitahu mahkamah, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dibuat Amelia.

Amelia dan dan seorang lagi pelakon, Idris Khan berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani.

A Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali, Rizal Baharuddin dilaporkan sepakat membawa perkara itu ke muka pengadilan.

Bagaimanapun, saman antara A Aida dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk dibicarakan.

Published by
Aizam Manaf