Hiburan

“Sampai Bila-Bila Kita Tak Akan Pulih…,”- Mimi Lana Kekal Hubungan Baik Dengan Syafiq Kyle, Bersederhana Tunjuk Kesedihan

Share

Meskipun harsat untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian, pelakon Mimi Lana tetap mengekalkan hubungan baik dengan bekas tunang yang juga merupakan aktor, Syafiq Kyle.

Mimi atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin berkata, perkenalan hampir sembilan tahun membuatkan mereka matang dan tidak terlalu ikutkan emosi.

“Kami berdua sudah berkenalan lama dan kenal hati budi masing-masing. Tempoh sembilan tahun perkenalanan itu membuatkan kami tidak menyalahkan antara satu sama lain kerana kami berdua sudah matang.

“Kami tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang baik,” katanya kepada MH.

Mimi berkongsi perkara itu ketika ditemui di lokasi penggambaran drama terbaharu lakonannya yang berjudul First Wives di Putrajaya pada Isnin.

Katanya lagi, dia dan Syafiq akan tetap kekal profesional lebih-lebih lagi apabila mereka bakal bergandingan untuk beberapa buah projek selepas ini.

“Kami tetap akan berjumpa kerana saya ada banyak projek kerjasama. Selepas ini, saya ada beberapa projek drama dan perlu sertai jelajah promosi bersama.

“Industri ini kecil sahaja dan kami perlu jadi profesional. Kerja dan urusan peribadi tak boleh dicampurkan,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, pelakon filem Pusaka turut mendedahkan dirinya reda walaupun hasrat untuk berkahwin tidak kesampaian.

“Sebagai wanita, saya sudah cuba yang terbaik. Sudah tentu saya sedih kerana saya tak boleh tipu perasaan itu. Semua orang akan melakukan hal yang sama jika lalui situasi seperti saya.

“Kita kena lalui apa sahaja perasaan yang Allah berikan kepada kita. Namun, harus bersederhana.

“Jangan terbawa-bawa hingga menggangu kehidupan, orang sekeliling dan kerjaya,” katanya lagi.

Ditanya sama ada hatinya masih dibayangi kisah silam, Mimi memaklumkan dia percaya setiap perkara itu mempunyai hikmah tersendiri.

“Nak cakap fasal pulih, sampai bila-bila pun kita tidak akan pulih. Bila kita sudah melalui sesuatu hal, kita boleh memaafkan dan menerima tapi kita tidak boleh lupa.

“Apapun, kita kena tahu yang segalanya sudah tertulis. Mungkin ada perkara yang lebih baik menanti saya pada masa akan datang. Perasaan itu yang banyak membantu saya,” akhirinya.

Terdahulu, Mimi dan Syafiq sepatutnya bernikah pada 18 Ogos tahun lalu namun, memutuskan untuk membatalkannya beberapa hari sebelum majlis berlangsung.

Namun, kedua-dua mereka kini dilihat terus berbaik dan banyak terlibat sama dalam beberapa tawaran kerja.

Bercakap mengenai drama First Wives, Mimi akui teruja kerana ini merupakan kali pertama dia memegang watak komedi.

Menurut Mimi, pada mulanya dia agak risau kerana watak seperti ini sememangnya baru buat dirinya.

“Ini kali pertama saya bawa watak utama genre komedi, saya seronok dan lepas ini lebih yakin terima tawaran sama.

“Tak sangka bila di set penggambaran orang boleh ketawa dengan watak saya.
Itu membuatkan saya lebih yakin sebagai seorang pelakon,” jelasnya.

Drama terbitan Astro Shaw itu turut menampilkan pelakon lain seperti Malek McCrone, Melissa Campbell, Charles Roberts, Carmen Soo dan Andy Teh.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf