“Sampai Hari Ini, Rasa Bersalah…,” – Mohon Maaf Sebab Lambat 2 Jam, Hafrezz Adam Dedah Sikap Azar Azmi Di Set Penggambaran

Share

Pelakon Azar Azmi mendedahkan, dia pernah lambat hampir dua jam ke sesi penggambaran drama terkini lakonannya berjudul Derita Untuk Bahagia.

Menurut Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, insiden tersebut berlaku oleh kerana dia terbangun lewat gara-gara dirinya terlalu letih.

Bagaimanapun, pelakon berusia 32 tahun ini mengakui kesilapan dirinya lalu memohon maaf kepada produksi terutamanya rakan pelakon, Hafreez Adam yang turut menjadi bintang utama menerusi drama bersiri terbabit.

“Sepanjang menjalani pengambaran drama ini, ada sekali saya mengaku, terlalu letih sekali gus membuatkan saya datang lewat ke set penggambaran.

“Sampai ke hari ini, saya rasa bersalah sangat terutama sekali dengan Hafreez. Saya mengaku kesilapan yang telah berlaku.

“Jadi saya mengambil peluang memohon maaf kepadanya dan alhamdulillah semuanya berjalan seperti biasa,” katanya.

Azar yang juga finalis Dewi Remaja sezaman Neelofa ini mendedahkan perkara tersebut menerusi sesi bersama media yang dilakukan secara virtual, pada Selasa.

Sementara itu, Hafreez pula menyifatkan gandingannya itu sebagai pelakon yang komited serta berdeikasi meski pernah datang lambat ke set pengambaran kerana hal yang tidak dapat dielakkan.

“Pengalaman saya berkerja dengan Azar, dia sangat senang sebab dia memberi kerjasama yang baik. Saling membantu antara satu sama lain.

“Bukan itu sahaja, untuk mendapat keserasian dengan Azar sangat mudah meski kami digandingkan buat kali pertama.

“Seorang yang fokus meski dia sibuk uruskan perniagaan pada waktu yang sama. Jadi pada saya Azar ni seorang yang sangat berdedikasi dan komited,” kata Hafrezz.

Drama Derita Untuk Bahagia arahan Ejump Mohd terbitan oleh produksi MIG Productions Sdn Bhd. ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Amar Baharin, Jasmin Hamid, Marisa Yasmin, Dayang Areeda dan ramai lagi.

Drama ini bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di saluran Astro Prima, mulai 7 Jun dan boleh boleh distrim di platform On Demand dan aplikasi Astro Go.

Published by
Nazar Rafiqhi