Pengacara Datuk Aznil Nawawi bersama syarikat pengeluar produk kesihatan terlaris di Malaysia, Eskayvie Sdn Bhd menerusi Eskayvie Diffenz menunjukkan keprihatinan sosial dengan memberikan sokongan dan bantuan kepada lebih 600 ‘Rider’ e-hailing penghantar makanan atau bungkusan di Seksyen 13, Shah Alam, hari ini.
Program murni yang diberi nama Bingkisan Raya Rider 2023 itu bermula dari jam 8 hingga 10 pagi tadi dan objektifnya bagi menyumbang semula kepada masyarakat yang memerlukan.
Pengarah Urusan Eskayvie, Kartika Wati Mohamed berkata, tugas ‘rider’ yang juga pekerja barisan hadapan menjalankan perkhidmatan penghantaran sebenarnya sangat mulia kerana membantu memudahkan urusan orang lain.
“Namun begitu, mereka juga sangat terdedah kepada pelbagai risiko seperti penyakit dan kemalangan. Oleh itu, Eskayvie ingin memberikan sokongan dan suntikan semangat kepada mereka agar dapat terus memberikan perkhidmatan dengan baik.
“Sebagai syarikat yang berpegang teguh kepada visi Memperkasakan Kesihatan Dan Ekonomi Ummah, Eskayvie sangat prihatin terhadap pentingnya kesihatan setiap individu di dalam usaha menjana ekonomi keluarga. Jika badan sihat, pastinya tugas dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.
“Saya berharap program seperti ini dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk turut sama berkongsi kebaikan dan membantu memberikan kesedaran tentang pentingnya penjagaan kesihatan.
“Sekali gus tanpa mengira apa juga bidang tugas dan kerjaya masing-masing,” katanya.
Malah Pak Nil turut berkongsi pautan video berkaitan menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya sekaligus menerima titipan kata positif warganet.
“Terbaik Pak Nil dan Eskayvie. Semoga semuanya dipermudahkan.”
“Wow bestnya. Ada cabutan bertuah lagi.”
“Syukur alhamdulillah moga dipermudahkan urusannya.”
“Alhamdulillah rezeki rider.”
“Saya sampai pukul tiga pagi lagi. Terima kasih. Ringan sikit beban nak balik beraya.”
Selain sumbangan berbentuk duit raya dan juadah raya dalam program berkenaan, pihak mereka turut menyediakan Eskayvie Afeeya Cafe untuk bekalan tenaga ‘rider’.
“Eskayvie Afeeya Cafe adalah sebagai ikhtiar untuk membantu mereka lebih bertenaga dan kekal fokus terutamanya ketika berada di jalanan,” kata Dr Syid Ayob Syid Mustafa AlQudri selaku formulator produk berkualiti Eskayvie.
Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perubatan dan formulasi produk telah membantu usaha Dr Syid Ayob dalam menghasilkan produk berkualiti yang sesuai dengan keperluan pengguna.
“Adalah diharapkan agar program dengan kerjasama Yayasan Eskayvie seperti ini dapat memberikan semangat kepada mereka yang sedang berjuang di dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar masa kini.
“Semoga program sebegini dapat memberikan manfaat yang besar kepada ‘rider’ dan masyarakat yang memerlukan” kata Dr Syid Ayob.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini