Pelakon cantik, Sophia Albarakbah mendedahkan sehingga kini dia masih menjadi mangsa buli segelintir netizen dalam media sosial.
Akui perlu terus kuat, bintang berusia 31 tahun ini akui dia tidak tahu apa sebab masih ada yang melemparkan komen yang tidak manis terhadap dirinya.
“Sampai sekarang saya masih dibuli dalam media sosial, tidak kiralah buat salah ke tidak, orang tetap lempar kata-kata negatif tanpa saya tahu apa sebabnya.
“Mungkin saya kuat dari luaran tetapi sebenarnya tidak. Saya sudah lalui macam-macam dan sehingga kini masih berusaha supaya perkara itu tidak beri kesan pada diri terutama kesihatan mental.
“Tipulah kalau kata tidak terkesan tapi sentiasa cuba untuk tidak buat perkara yang tidak sepatutnya,” katanya, petik kepada Kosmo! Online.
Tidak menafikan ada komen melampau telah diterima, bintang filem Miimaland tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang terus menerus membulinya dalam media sosial.
“Sebenarnya semua komen-komen itu sudah melampau tetapi saya belum lagi ambil tindakan.
“Namun, kalau masih berterusan, saya akan buat laporan sekiranya itu tindakan yang patut dilakukan untuk menghentikan semua ini.
“Saya tak tahu kenapa ada netizen yang berani bertindak (tulis komen negatif), namun apa-apa pun alasan, harap mereka berhenti kerana perkara sebegitu tidak baik pun.
“Buli bukan perkara remeh kerana mampu membawa kepada sesuatu yang lebih serius terutama terhadap kesihatan mental dan kestabilan emosi seseorang.
“Kalau orang mental tak kuat, memang akan beri kesan yang buruk. Boleh jadi akan tertekan dan bunuh diri,” katanya yang pernah
bertemu pakar terapi untuk menangani kemurungan selepas dikecam hebat sebelum ini.Nama Sophia pernah menjadi buah mulut ramai termasuk menjadi sasaran warganet apabila terpalit dakwaan menjalin cinta lokasi dengan penyanyi dan pelakon asal Singapura, Aliff Aziz.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini