“Sangat Perfectionist Kerana Mereka Superstar,” – iKON World Tour Take Off 2023, Penganjur Dengar Suara Peminat

Share

Selepas hampir lima tahun, grup K-Pop popular dunia, iKON menjadi penghibur antarabangsa terbaru yang memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menganjurkan konsert jelajah iKON World Tour Take Off 2023.

Penganjur bersama Jojo Events dan My Events International komited untuk memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat para peminat yang hadir ke konsert pada 22 Julai ini.

iKON yang dianggotai oleh Jay, Song, Bobby, DK, Ju_Ne dan Chan kembali ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan album Take Off yang merupakan sebahagian daripada World Tour sejak berpisah dari label asal YG Entertainment.

Menurut pengasas Jojo Events, Tan Sri Jojo, pihaknya bersedia untuk memenuhi segala permintaan daripada pihak iKON untuk memberikan persembahan magikal buat para peminat mereka.

“Menjayakan konsert ini bukan sesuatu yang mudah. Kita akan berhadapan dengan pelabagai halangan. Saya bercakap berdasarkan pengalaman menganjurkan konsert selama lebih 30 tahun.

“Kita perlu memenuhi segala tuntutan daripada pihak kerajaan dan artis itu sendiri. Kos penganjuran konsert ini agak besar dan ia menelan belanja sebanyak RM6 juta.

“Artis yang akan kita undang ini sangat mementingkan kesempurnaan kerana mereka merupakan superstar. Mereka mahukan pentas dan sistem pencahayaan yang terbaik.

“Jadi, kita akan sediakan segala yang mereka mahu walaupun ia akan menelan kos yang besar. Wang dan keuntungan bukanlah keutamaan kami sebaliknya kami mahu memastikan para penonton terhibur pada hari konsert itu nanti,” katanya kepada MH.

Katanya lagi, pihak Jojo Events juga bersedia mendengar suara dan cadangan peminat bagi memastikan semua pihak berpuas hati.

“Kami mendengar segala keluhan para peminat mengenai konsert ini. Malah, kami tetap berusaha untuk memberikan yang terbaik.

“Pihak kami dan Ikon telah bersetuju untuk mengadakan konsert di The Mines. Jangan risau, lokasi konsert telah ditambah baik dan pentasnya pula akan menggunakan sistem hidrolik.

“Anda tak perlu risau mengenai pentas. Anda akan dapat melihat keseluruhan pentas daripada tempat duduk anda,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif My Events International, Hema Kandy memaklumkan pihaknya akan cuba memberikan kemudahan terbaik buat peminat yang hadir ke konsert itu nanti.

“Kami akan menyediakan tempat menyimpan barang buat penonton yang hadir. Kami sedang berbincang dengan beberapa vendor yang menyediakan perkhidmatan ini. Sebolehnya kami mahu yang berkunci.

“Selain itu, untuk kepuasan penonton di bahagian belakang, kami bukan sahaja menyediakan dua tetapi empat skrin gergasi agar mereka dapat menonton artis kesayangan mereka dengan lebih jelas.

“Kami juga akan menyediakan nombor untuk ‘standing ticket’ agar para penonton tidak perlu berebut sehingga berkampung di luar venue,” jelasnya.

Terdahulu, iKON World Tour Take Off 2023 bakal berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC).

Tiket mula dijual pada harga RM388, RM538, RM688, RM838, RM1,038, dan RM1,088.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf