Vokalis baru kumpulan, Search, Denden Gonjalez enggan terlalu memikirkan mengenai konflik yang melanda kumpulan tersebut sebaliknya dia mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap konsert Search Rocking On Rooftop yang bakal berlangsung pada 11 Jun depan.
Menurut Denden, dia harus membuat persediaan rapi memandangkan band tersebut bakal mempersembahkah lagu-lagu daripada album Rampage yang jarang dimainkan sebelum ini.
“Buat masa sekarang, saya tidak terlalu memikirkan memikirkan mengenai perkara lain. Fokus saya ketika ini adalah untuk memberikan persembahan terbaik pada hari konsert itu nanti.
“Memang tidak dinafikan, saya mengalami sedikit sekuran untuk menghafal lagu-lagu Search daripada album Rampage kerana lagu tersebut jarang dinyanyikan dan agak asing juga bagi saya.
“Lagu-lagu ini juga keynya agak tinggi tetapi saya sedang berusaha dan berkerja keras untuk berikan yang terbaik,” tulisnya.
Penyanyi asal Indonesia itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Search Rocking On Rooftop yang berlangsung di ibu kota pada Jumaat.
Katanya lagi, meskipun dia mengagumi kehebatan Amy selaku vokalis asal, namun, Denden memaklumkan dia akan tetap menjadi dirinya sendiri sepanjang bersama kumpulan Search.
“Abang Amy sememangnya menyampaikan lagu-lagu Search dengan sangat baik. Saya mengidolakan Abang Amy sejak saya masih kecil. Sangat susah bagi saya untuk menyamai tahap dia.
“Bagaimanapun, saya akan tetap menjadi diri saya sendiri. Saya mahu para peminat menerima saya kerana diri saya sendiri dan bukan dengan sesuatu yang dibuat-buat,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya mengenai perasaannya apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini mendedahkan situasi ini sudah menjadi kebiasaan buat isteri serta anak-anaknya.
“Keluarga saya sebenarnya sudah terbiasa berjauhan dengan saya dalam jangka masa yang agak lama. Saya juga banyak membuat persembahan di luar negara.
“Jika ingin dibandingkan, saya di Malaysia baru sebulan tetapi saya pernah berjauhan dengan keluarga selama enam bulan untuk mengikuti pertandingan nyanyian di Bulgaria,” akhirinya.
Denden bakal membuat penampilan sulung bersama kumpulan Search yang turut dianggotai Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass) dan Minn (dram) pada konsert yang bakal berlangsung di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Konsert itu juga bakal diserikan lagi dengan persembahan jemputan daripada ratu rock negara, Ella.
Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell manakala untuk pembelian dalam talian pula adalah menerusi laman web rasmi mereka.
Tiket dijual bermula pada harga RM88, RM198 dan RM298. Bagaimanapun, tiket berharga RM88 sudah habis dijual.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Search & Amy Search