“Saya Ada Hak Nak Datang,” – Kehadiran Di All Stars GV Raih Perhatian, Sophia AlBarakbah Minta Jangan Ungkit Kisah Lama

Share

Pelakon, Sophia Albarakbah memaklumkan keberadaannya di program All Star Gegar Vaganza (ASGV) Ahad lalu adalah untuk menemani dan memberikan sokongan terhadap sepupunya, Aishah Retno.

Penyanyi itu membuat persembahan di program GV Live Plus.

Jelas Sophia, dia juga ingin menonton persembahan para peserta yang bertanding.

“GV itu pertandingan apa? Pertandingan itu untuk siapa? Ia merupakan pertandingan untuk artis. Ramai artis yang bertanding di situ.

“Lagipun, saya datang ke GV untuk berikan sokongan terbadap sepupu saya, Aisha Retno sebab dia buat persembahan di GV Live Plus,” katanya kepada MH.

Pelakon drama Suamiku Lelaki Pendosa itu berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media filem Harimau Malaya: The Untold Story yang berlangsung di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada Selasa.

Kehadiran Sophia di konsert minggu ke-3 ASGV itu mendapat perhatian ramai kerana sebelum ini dia pernah terkait kontroversi ‘cinta lokasi’ bersama salah seorang peserta, Aliff Aziz.

Dalam pada itu, Sophia turut mendedahkan telah pulang sebaik sahaja Aisha selesai membuat persembahan.

“Saya tonton sehingga Liza Hanim buat persembahan. Kemudian, pada pukul 11 giliran Aisha pula yang buat persembahan.

“Dia tarik saya keluar untuk lihat dia buat persembahan. Selepas itu, kami terus pulang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Sophia turut menyifatkan dirinya punyai hak untuk menghadiri mana-mana program dan berharap agar orang ramai tidak membangkitkan semula kisah-kisah lama.

“Pada saya, kalau kita bertembung sekali pun di program tersebut, ia tidak menjadi satu masalah kerana kami berada di dalam satu industri yang sama.

“Tiada masalah buat kami untuk berada di satu tempat yang sama. Saya tak rasa kehadiran saya di program tersebut akan mencetuskan kontroversi.

“Apa yang terjadi diantara kami merupakan kisah lama. Saya ada hak juga untuk pergi ke program tersebut.
Saya okay sahaja untuk datang lagi untuk sokong artis-artis yang bertanding,” akhirinya.

Sekitar Januari lalu, nama Sophia mencetuskan sensasi selepas isteri kepada Aliff, Bella mendakwa dia menjadi orang ketiga yang menggangu rumah tangganya

Bella turut memuat naik tangkap layar memaparkan aktres itu memohon maaf dan ingin memperbetulkan keadaan berkaitan dakwaan mengganggu rumah tangga pasangan itu.

Aliff dan Bella yang mendirikan rumah tangga pada 2016, kini bahagia bersama sepasang cahaya mata, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Manakala, Sophia pada bulan lalu juga dilaporkan mengakui sudah putus cinta dengan jejaka yang dikenali sebagai Mr. Doctor.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf