Melakonkan beberapa adegan mesra di dalam drama terbaharu yang berjudul Senyawa, pelakon Shah Jaszle akui bersyukur kerana dikurniakan isteri yang sangat memahami bidang pekerjaannya itu.
Menurut Shahz atau nama sebenarnya Muhammad Shahrizal Jaszle Jasmin,
babak-babak mesra yang ditunjukkan di dalam drama tersebut hanya permainan kamera dan dipantau rapi oleh pihak pengarah.
“Isteri saya sangat menyokong kerjaya saya. Babak-babak yang anda lihat di trailer, kesemuanya adalah ‘cheat shot’ kerana pengarah memang seorang yang menjaga batas pelakon.
“Saya dan isteri berkenalan selepas saya mula berlakon dan kami tidak pernah ada isu mengenai heroin yang akan bergandingan dengan saya,” katanya kepada MH.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Senyawa, baru-baru ini.
Katanya lagi, isteri yang juga merupakan pengurusnya itu telah pun dimaklumkan terlebih dahulu oleh pihak penerbit mengenai babak-babak tersebut.
“Isteri adalah pengurus saya. Sewaktu saya berjumpa dengan Jason Teo untuk berbincang mengenai kontrak drama Senyawa, Jason terus maklumkan kepada isteri saya bahawa watak saya mempunyai beberapa babak ‘daring’.
“Dia tanya kepada isteri saya, awak tak kisah ke? Isteri saya terus jawab, dia okay sahaja. Lagipun, skrip drama ini telah pun sampai ke isteri saya terlebih dahulu. Malah, dia sebenarnya yang menerima tawaran ini.
“Isteri saya pun tahu saya ini sejenis yang pergi kerja dan bila habis, saya terus balik. Anak-anak pun ada di rumah. Saya memang tiada masa nak buat perkara yang bukan-bukan,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Shahz juga amat menghargai pengorbanan isterinya itu yang sanggup membahagikan masa buat keluarga selain turut menguruskan kerjaya suaminya.
Malah, hubungan mereka kini makin bertambah erat selepas dikurniakan anak ketiga pada Jun lalu.
“Saya bersyukur dikurniakan isteri yang sanggup berkorban demi keluarga. Saya pun jadi lebih bersemangat untuk mencari nafkah dan rezeki.
“Kadang kala, ada yang bertanya, tak tergugat ke bila berlakon dengan aktres-aktres cantik? Jawapan saya adalah, saya ada isteri yang sangat baik di rumah. Dia juga sangat cantik.
“Bila dapat isteri yang boleh menjaga anak-anak dan menguruskan saya, itu merupakan pekej lengkap. Saya sangat menghargai dan bersyukur dikurniakan isteri yang sangat baik,” akhirinya.
Sekadar informasi, Shahz mendirikan rumah tangga dengan Nur Hanis Husna pada 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alana Jasmeen, Ayden Jasreen, dan Aurora Jane yang kini berusia empat bulan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Kredit Foto: Instagram Shahz Jaszle
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI