Pelakon Datin Intan Najuwa menegaskan kepada semua pihak untuk bertanggungjawab dan menjaga haiwan peliharaan mereka dengan sebaiknya.
Menurut Intan, sekiranya seseorang itu sudah tidak mampu lagi menggalas komitmen berkenaan, mereka seharusnya menyerahkan haiwan peliharaan tersebut kepada pihak bertanggungjawab dan bukan melampiaskan kemarahan dengan mendera.
“Tolonglah, kepada sesiapa yang bela kucing, anjing atau apa-apa binatang sekali pun, jangan la dera. Kalau tak nak, cari orang lain yang boleh jaga. Sedih la begini.
“Binatang ni semua tak ada buat salah apa pun. Jagalah diaorang baik-baik. Tolong jaga mereka dengan kasih sayang. Awak sayang mereka, mereka sayang awak 10 kali ganda,” tulisnya.
Peringatan itu dikongsikan oleh Intan di Instagram selepas tular berita mengenai seekor anjing husky yang telah diselamatkan oleh orang awam selepas didakwa telah dianaiya oleh tuanya.
Pada masa sama, pelakon drama Racun Rihanna akui terkesan dengan berita tersebut lebih-lebih lagi bila mengenangkan kucing dan kuda peliharaannya.
“Saya ada kucing dekat rumah dan ada kuda. Sayang sangat. Punya la jaga macam anak.
“Nak jentik pun tak sampai hati. Apatah lagi sakitkan dan dera mereka. Baru baca berita ini.
“Terima kasih kepada mereka yang membantu haiwan comel ini. Semoga tuhan merahmati kamu semua dan lindungilah anjing husky ini walau apa cara sekali pun,” ujarnya lagi.
Memetik laporan Mstar, anjing husky berkenaan dikatakan telah didera oleh seorang lelaki, dipercayai tuannya.
Rakaman kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah kondominium di Kajang, Selangor itu menjadi tular selepas dikongsi oleh seorang wanita menerusi laman Instagram Shimaaris.
Dalam perkembangan terbaharu, Shima yang sering menyelamatkan kucing dan anjing terbiar memaklumkan pihaknya berjaya menyelamatkan haiwan yang didera itu.
“Alhamdulillah, kami berjaya mendapat anjing malang itu yang saya namakan Kitster. Anjing selamat dengan saya, ada di vet.
“Buat masa sekarang, biar Kitster berehat dan sedar dia berada dalam jagaan yang baik. Sebelum ini dia sangat trauma dan emosinya terganggu, biarkan dia pulih dengan kasih sayang,” katanya seperti yang dipetik.
Shima mendakwa anjing tersebut diserahkan kepadanya secara baik, namun dikatakan terdapat seekor lagi anjing baka Pomeranian yang masih berada di rumah lelaki berkenaan.
“Dia akan serahkan (anjing) kepada saya secara baik apabila tiba masanya,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Intan Najuwa & Mstar
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI