Ibu kepada pengacara dan penyampai radio, Radin Era, Allahyarham Feridah Hashim baru sahaja menghembuskan nafas terakhir lebih seminggu lalu.
Menurut Radin, dia mengakui terpaksa mengambil sedikit masa sebelum dia memulakan hari-hari serta komitmen kerjayanya seperti biasa.
“Macam semua tahu, saya baru kehilangan ibu saya. Jadi, banyak juga kerja-kerja yang terpaksa saya tolak sebab untuk mengharungi fasa ini agak susah.
“Kerja saya adalah untuk menghiburkan orang. Jadi saya dah bagitahu pengurus, mana yang boleh tolak, kita tolak dahulu dengan cara baik,” katanya kepada MH.
“Untuk kembali semula bekerja, seperti semua tahu kerja ini juga amanah. Anak mana yang tak sedih kalau kehilangan ibu ni.
“Alhamdulillah saya bersyukur pemergian arwah ibu sangat tenang dan dipermudahkan.
“Sebagai anak, apa lagi yang perlu saya risau dan fikirkan. Tenanglah mama saya di sana. Kita doakan yang baik-baik,” jelasnya yang turut terharu atas doa yang dizahirkan rakan artis dan peminat.
Radin ditemui ketika menjalani penggambaran program MHthrowback, pada Khamis.
Dalam pada itu, Radin turut mengakui dia berasa sedikit terkilan kerana menganggap masih belum cukup masa untuk membalas jasa arwah ibu.
“Mungkin saya ada sikit terkilan sebab saya rasa belum cukup lagi untuk saya balas semula jasanya.
“Ibu saya menanggung sakit ni dah lama. Sesuatu yang agak kronik. Hampir 36 tahun jugalah. Jadi, kami adik-beradik reda. Kami terima dengan hati yang terbuka,” kongsinya lagi.
Radin menambah, meski pun berat baginya untuk menerima kenyataan, namun dia tetap akan cuba untuk membiasakan diri demi memastikan kerjanya sentiasa berada di tahap yang terbaik.
“Kerja saya adalah untuk menghiburkan orang atau membuat orang lain ketawa. Macam mana saya nak biasakan diri tu, nak tak nak saya kena move on. Memang kita tak boleh lupakan apa yang terjadi.
“Tapi alhamdulilah saya akan cuba untuk kuat dan lapangkan dada. Meneruskan kerja dan kehidupan seperti biasa.
“Sebab saya rasa kalau ibu saya tahu pun, mesti dia tak nak tengok anak-anak dia sedih,” akhirinya.
Sumber Foto: Instagram Radin Era