Keserasian ketika berlakon merupakan antara aspek yang paling penting dalam menghidupkan sesebuah naskah.
Kebiasaannya, keserasian ini dapat dibina melalui pengalaman atau pun interaksi sesama pelakon itu sendiri.
Bagaimanapun, bagi pelakon, Zul Ariffin, dia berpendapat soal keserasian ini bukan hanya boleh dipupuk menerusi adegan-adegan intim atau bersentuhan sahaja tetapi banyak lagi aspek lain yang boleh diambil kira.
“Sebelum ini saya sering berlakon babak bersentuhan dengan gandingan saya. Bagaimanapun, perkara tersebut tak menjanjikan apa-apa. Nak bina keserasian bukan setakat pada babak bersentuhan.
“Saya seorang pelakon dan saya akan menyesuaikan diri. Perkara paling utama, saya memang akan menghormati setiap prinsip gandingan saya. Apa yang membuatkan dia selesa dan juga sebaliknya.
“Lain orang lain caranya. Cara bergurau juga berbeza. Kami tidak diberikan masa untuk mencari keserasian. Segalanya bermula di set. Pada saya respek adalah perkara yang patut didahulukan,” katanya kepada MH.
Katanya lagi, dia juga tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya gandingannya itu tidak mahu untuk melakukan babak-babak yang melibatkan sentuhan.
“Mungkin ramai yang sangka saya ni memang suka melakonkan babak mesra atau bersentuhan tapi sebenarnya saya tidak pernah melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
“Segalanya bermula dengan rasa hormat. Kalau saya rasa perkara itu tak penting saya tak akan buat. Sekiranya gandingan saya tidak mahu babak bersentuhan saya okay je. Ia bukan satu masalah,” jelasnya lagi.
Zul berkata sedemikian dalam satu temu ramahnya bersama MH baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon drama Love, Elsa ini turut berharap agar masyarakat dapat mengubah persepsi mereka terhadap pelakon yang melakonkan babak mesra atau bersentuhan ini.
“Jika sebelum ini saya ada melakonkan babak dukung heroin saya, apa yang membuatkan anda terfikir yang saya suka. Saya sendiri tak faham. Saya hanya mahu selesaikan babak tersebut secepat mungkin.
“Saya seorang pelakon, itu dah menjadi tugas saya. Kalau gandingan saya tak selesa kita boleh bincang dengan pengarah. Saya tahu perkara seperi ini agak sensitif untuk diperkatakan,” ujarnya lagi.
Sumber Foto: Instagram Zul Ariffin