Meriah sungguh pelancaran produk mekap daripada juru solek terkenal, Datuk Alha Alfa yang berlangsung dalam suasana Bollywood di Hotel Royal Chulan pada Sabtu.
Majlis yang bermula sekitar jam 8.30 malam itu turut dihadiri oleh stokis, rakan media dan tidak kurang para selebriti yang melaram baju ala Bollywood yang cukup berwarna-warni.
Paling mencuri tumpuan sudah tentunya kelibat aktres Izreen Azminda yang sebelum ini menjadi bualan ramai berhubung isu melibatkan rumah tangganya.
Mahu buang yang keruh dan ambil yang jernih, Izreen yang hadir bersama teman meminta pihak media untuk tidak bertanya apa-apa soalan berhubung soal peribadi.
Bagaimanapun, dia berjanji untuk menjawab isu berkenaan pada suatu tarikh istimewa iaitu beberapa hari sahaja lagi dan undangan ke majlis tersebut sudah pun diberikan kepada wartawan dan jemputan.
Kata Izreen kepada MH, dia sebolehnya menghormati dan sedia memahami kerja rakan media yang selama ini tidak putus-putus memberikan sokongan terhadap kerjaya seninya.
“Saya akan jawab semua. Tunggu ya,” jelasnya ringkas yang mengenakan persalinan sari rona hijau gelap, lengkap dengan padanan aksesori dan clutch.