Pelawak Lan Pet Pet akan mendapatkan khidmat nasihat peguam berkenaan untuk tindakan selanjutnya berkenaan satu video di media sosial yang berunsur fitnah sekaligus mengaibkan namanya.
Anggota kumpulan Senario itu juga akan mengundang pihak media bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai hal berkaitan.
“Memandangkan post2 yang berunsur fitnah dan telah mengaibkan nama saya, jadi saya akan mendapatkan khidmat nasihat dari peguam saya utk tindakan selanjutnya.
“Saya akan jemput rakan media utk memberi penjelasan lanjut mengenai video yg tular tersebut,” tulis Lan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram.
Menerusi foto serta artikel yang dikongsikan, ia membabitkan satu video tular yang pada awalnya dimuat naik di Twitter, baru-baru ini.
Video tersebut merakamkan seorang pemandu kereta dilihat seolah-olah sedang berurusan dengan seorang penunggang motosikal di tepi jalan pada waktu malam.
Dalam video kurang seminit berkenaan itu, pengguna Twitter tersebut mendakwa individu di dalam kereta itu mirip seperti seorang pelawak terkenal.
Ciapan tersebut sekaligus menerima reaksi pelbagai warganet dan ada mendakwa mengaitkan individu tersebut sebagai pelawak berdasarkan loghat dan suara.
Bagaimanapun, ada juga yang menyangkal kerana berpandangan ia hanya gimik atau lakonan semata-mata.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata meminat meminta Lan untuk bersabar dan mendoakan agar pelawak berkenaan dipermudahkan urusan.
“Tak payah dok buat fitnah kalau takdak bukti sahih. Sabar nah abang Lan. Zaman sekarang zaman canggih makin menjadi-jadi dengan tuduhan yang boleh datangkan fitnah. Takutnya ya Allah,” tulis seorang peminat.
“Lan naik BMW woi. Bukan Myvi. Minggu lepas jumpa dia,” seorang peminat berikan reaksi.
“Allah tengah uji kesabaran hang bang Lan,” tulis peminat lain.
“Allah sayang, moga dipermudahkan urusan,” peminat berikan kata semangat.
“Molek. Penjelasan gini untuk elakkan tohmahan dan salah faham,” komen peminat lainnya pula.
Foto: Instagram Lan Pet Pet