Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan tiada dokumen daripada pihak ketiga yang boleh membuktikan secara saintifik bahawa Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nursajat seorang khunsa.

Tambahnya seperti yang dipetik Awani, adalah menjadi kewajipan kepada usahawan sensasi itu untuk menunaikan umrah berlandaskan ketetapan fatwa muzakarah haji berhubung isu melibatkan ibadah haji atau umrah oleh golongan mukhannas.

Malah tegasnya lagi, Sajat juga perlu mematuhi kesopanan dan undang-undang Arab Saudi mengikut fitrah kelahirannya dalam melaksanakan ibadah.

“Kami berpegang kepada fatwa yang dikeluarkan oleh fatwa muzakarah haji yang telah jelas menyebut tanpa pembuktian tersebut, dia tetap kekal menjadi seorang yang asal jantinanya adalah lelaki.

“Maka segala hukum hakam yang dikenakan kepada mereka yang menjalankan ibadah umrah dan haji sama seperti lelaki lain,” katanya seperti yang dipetik menerusi satu klip video yang dikongsikan kepada media di sini pada Isnin.

IKLAN

Terdahulu, penyanyi Makhluk Penggoda itu didakwa ada berkongsi beberapa klip video serta foto di laman sosialnya ketika menunaikan ibadah umrah yang turut disertai kenalan serta kedua ibu bapanya.

Bagaimanapun, perkongsian tersebut mendapat kecaman umat Islam, termasuk Pencetus Ummah (PU) Amin yang ketika ini turut berada di tanah suci bagi menunaikan umrah.

Mujahid sebelum itu mengadakan pertemuan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi pelancongan umrah Albayt Travel (M) Sdn Bhd pada petang Isnin susulan isu yang dipercayai membabitkan usahawan terbabit yang mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Mekah sehingga tular di media sosial.

Saya akan mengambil tindakan tegas tentang perbuatan Muhammad Sajjad yang membuat naik video dan gambar mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Mekah sehingga tular di media sosial yang menimbulkan ketidakselesaan umat Islam.

“Tindakan segera akan diambil oleh SKMM,” katanya lagi.

Selain itu, Mujahid menjelaskan tindakan segera mengadakan pertemuan bersama SKMM diambil kerana suruhanjaya berkenaan mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana media sosial yang memuat kandungan yang menimbulkan rasa tidak selesa khususnya kepada umat Islam.

“Oleh kerana itu saya telah meminta nasihat dan memberi pandangan bagaimana satu tindakan yang tegas tentang isu ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Mujahid memberitahu, pertemuan bersama Albayt Travel (M) Sdn Bhd yang membawa Muhammad Sajad dan keluarganya pula bertujuan bagi mengetahui situasi sebenar yang berlaku di Mekah.

Sumber: Awani