Hubungan rapat yang terjalin di antara pelakon Liyana Jasmay dengan Allahyarham ibunya, Datin Habsah Simpon sememangnya diketahui ramai lebih-lebih lagi dalam kalangan individu yang terlibat dalam bidang hiburan.
Malah, Liyana juga mendedahkan Allahyarham ibunya sanggup menemaninya menyambung pengajian dalam kursus perfileman selama beberapa bulan di New York, Amerika Syarikat.
Selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kemensah, Kuala Lumpur pada petang Jumaat, Liyana mengakui reda dengan pemergian ibunya yang menderita penyakit kanser limfoma tahap keempat.
Berkongsikan luahan di laman Instagram miliknya, Liyana berkata dia terharu dengan penghormatan terakhir diberikan kepada arwah ibunya yang sememangnya dikenali mempunyai hati yang baik.
“Mama selalu bawa kebahagiaan kepada orang lain dan hari ini (Jumaat), ia terbukti. Ramai datang melawat mama buat kali terakhir.
“Mereka semua menyayangi mama disebabkan mama seorang yang sangat baik hati.
“Allah tahu apa yang terbaik, mama kelihatan sangat ‘gembira’ hari ini, saya reda.
“Saya akan sentiasa merindui mama sementara menunggu giliran untuk kita kembali dipertemukan semula bersama babah.
“Saya tidak mahu terlalu leka dengan duniawi sebab saya mahu dipertemukan semula dengan mama dan babah di Jannah, InsyaAllah,” tulis Liyana di ruangan kapsyen.
Dalam pada itu, aktres itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya sepanjang menguruskan pengebumian Allahyarham.
“Terima kasih kepada semua yang menghantar mesej (ucapan takziah), waktu solat jenazah, yang mendoakan dari jauh.
“Yang bawakan makanan kepada kami semua, yang bantu saya untuk sampaikan berita pada yang lain, yang datang untuk ziarah kami sekeluarga.
“Semoga Allah membalas semua yang baik-baik buat semua, InsyaAllah,” kongsi Liyana lagi.
Terdahulu, Allahyarham meninggal dunia pada jam 8.30 pagi Jumaat di Hospital Kuala Lumpur selepas dua minggu menerima rawatan akibat penyakit kanser limfoma tahap empat yang baharu dikesan sejak dua bulan lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.