“Saya Akui Tersalah Perkataan, Mungkin Itu Adalah…,” – Bangun Dari Kerusi Juri Naik Pentas, Ajai Secara ‘Live’ Mohon Maaf Kepada Hafiz Zainal

Share

Penyanyi dan komposer Ajai tampil memohon maaf secara terbuka kepada bintang Big Stage 2020, Hafiz Zainal.

Ajai atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Maas secara profesional naik ke atas pentas dari kerusi juri secara langsung pada permulaan konsert minggu kedua program realiti berkenaan.

“Sebenarnya Hafiz, saya bukan nak datang di sini untuk hentam semua orang, tetapi just think positive. Kamu mempunyai masa yang singkat tujuh atau lapan minggu sahaja.

“Saya tak mahu berikan kamu dan peserta lain ruang serta rasa selesa. Saya akui saya tersalah perkataan, mungkin itu adalah cara, prinsip saya bila menjurikan sesuatu.

“Sebab saya begitu peka dengan bunyi dan saya begitu teliti dengan setiap nota muzik.

“Akan tetapi, tidak semestinya awak tidak bagus. Di sini saya ingin memohon ampun dan maaf jikalau saya ada terkasar bahasa.

“Tetapi percayalah, tujuan saya untuk melihat budak-budak muda seperti ini, apabila dia keluar (selepas Big Stage 2020) mereka akan menjadi ‘evergreen’,” katanya secara langsung.

Pada masa sama, Ajai antara lain turut memasang harap agar semua peserta Big Stage musim ini berjaya apabila keluar daripada program itu nanti.

“Bermaksud, mereka akan kekal dalam industri sama seperti artis lama yang masih kekal hingga sekarang kerana besar pada kualiti dan bakat mereka.

“Biar saya dicaci, dihina, dihentam. Sebagaimana yang saya cakap, jauhari mengenal manikamnya dan saya tetap berdiri dengan prinsip saya.

“Bila peserta ini keluar, mereka tahu cara menyanyi yang betul dan ‘views’ mereka setanding dengan bakat diaorang,” jelasnya sambil berjabat tangan sambil menyatakan ‘all the best buat Hafiz.

Terdahulu, Ajai yang dilantik sebagai juri tetap Big Stage 2020 bersama Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir memberikan markah terendah kepada Hafiz Zainal pada minggu pertama saingan.

Markah itu dinilai berdasarkan persembahan dan vokal setiap peserta.

Lalu, tindakan Ajai mendapat reaksi pelbagai netizen hingga mencetuskan sensasi di media sosial, yang sekali gus dikatakan sebagai sejarah markah terendah dari juri dalam mana-mana pertandingan realiti di negara ini.

Sementara itu, 12 peserta yang melunaskan cabaran dengan membawa tema ‘Hype Beat’ menyaksikan Amir Hasan, Fadh Majid dan Hanie Soraya telah diumumkan sebagai tiga peserta dengan markah terendah.

Konsert malam tadi juga menyaksikan Hanie Soraya tersingkir kerana memperoleh markah terendah dari pihak juri dan undian online.

Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.

Bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) setiap hari Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124), program tersebut dikendalikan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad.

Video, foto: Astro Awani

Published by
MH