Penyanyi Mazleela mendedahkan dirinya mengalami masalah injap jantung yang lemah sejak tiga tahun lalu.
Malah, hal yang berlaku menyebabkan dirinya agak sukar apabila mahu menyanyikan lagu bernada tinggi.
“Kalau nyanyikan lagu nada yang tinggi, ia kadang-kadang bukan tak boleh nak capai…nampak ‘down’ sikit. Itu tidak disangkalkan, memang ia turut berkaitan dengan masalah kesihatan.
“Saya alami masalah injap jantung yang agak lemah kira-kira sejak tiga tahun lalu.
“Saya ada berjumpa pakar dan apa yang dialami ini tidaklah serius, cumanya saya tidak boleh rasa penat.
“Malah, ada ketika kalau lepas mandi menggunakan ‘shower’ pun, rasa macam lari 500 meter…macam tulah contohnya,” seloroh Mazleela.
Ditanya bagaimana dirinya dapat mengesan masalah kesihatan yang dialami, bintang yang sinonim menerusi lagu Tabah ini memberitahu, pada peringkat awal dia sangka itu hanyalah semput.
“Pada awalnya saya ingatkan alami semput, rasa sesak…ada benda yang ‘tekan’ jantung kita, sakit. Jadi bila ke hospital, doktor ada tanya sama ada saya ada keturunan yang alami masalah jantung atau tidak.
“Saya kata ada…arwah ibu saya. Tersumbat? Tanyanya dan betullah sebab arwah ibu memang alami malasah jantung tersumbat.
“Akan tetapi kata doktor yang melihat draf degupan jantung saya, ia tidak serius cuma kena hati-hati. Atas faktor usia dan keturunan jadi perlu berjaga-jaga,” terangnya.
Mazleela bagaimanapun positif dan turut memaklumkan kepada pihak produksi GV6 terlebih dulu akan kekangan yang dihadapi.
“Apabila dapat peluang sertai GV6, saya ada rujuk suami dan tanya pendapatnya. Dia berikan galakan memandangkan saya masih lagi aktif menyanyi.
“Pada masa sama, saya juga ada maklumkan hal tersebut kepada pihak produksi.
“Saya pun memang yakinkan diri untuk tetap teruskan saingan dalam GV6. Ada ambil ubat cuma ambil ketika perlu sahaja.
“Platform GV6 ini pun saya ambil demi peminat saya yang sudah lama rindui penampilan saya. Kemunculan di pentas dengan media sosialkan lain bezanya.
“Jadi pasti ada hikmah di sebaliknya tersingkir awal. Banyak faktornya,” akhiri Mazleela yang tetap percaya pada rezeki.
Terdahulu, namanya diumumkan sebagai peserta pertama yang tersingkir dalam saingan GV musim ini dengan memperolehi markah paling rendah di kalangan 12 peserta lainnya.