“Saya Alami Pening Kepala Yang Tak Henti,” – Buat Pemeriksaan Darah & X-Ray, Ryan Deedat Kongsi Pengalaman Anxiety

Share

Pengalaman berdepan dengan tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 di negara ini beberapa bulan lalu mendorong penyanyi, Ryan Deedat untuk menghasil single terkininya yang telah pun dilancarkan Julai lalu.

Masih lagi rancak menjadi bualan, single keempatnya yang berjudul Menari Dalam Gelap itu menjadi naskhah terkininya yang digarap bersama Heil Nuan.

“Jujurnya, idea untuk menghasilkan lagi ini tercetus ketika kita semua berdepan dengan penguatkuasaan (PKP) atas situasi semasa dunia yang berlaku.

“Perkara itu secara tak langsung membuatkan saya mengalami masalah anxiety. Perasaan kebimbangan ini mencetuskan perasaan takut pada diri.

“Misalnya mengenai jangkitan, isu naik turun kerjaya yang tak tentu selain risaukan kesihatan ibu.

“Malah mendapat tahu, bukan saya sahaja yang alami masalah sama. Bahkan ada yang lebih teruk dan tujuan saya menulis lagu ini kerana rasanya masih ada di antara kita yang masih tidak faham mengenai gejala anxiety secara menyeluruh,” katanya.

Ryan turut menambah, sebolehnya dia mahu mewakili mereka yang mempunyai masalah ini untuk suarakan luahan menerusi lagu.

“Jadi saya nak mewakili orang orang yang ada masalah ini dengan cara saya menulis lagu ini seterusnya ekspresikan perasaan tersebut di dalam lagu,” katanya optmis.

Ditanya apakah kebimbangan yang dilaluinya sepanjang tempoh berkenaan hingga mendatangkan anxiety, bintang ini mengakui dia mengalami pening berpanjangan beberapa hari sebelum PKP.

“Dua hari sebelum PKP dilaksanakan, saya mengalami pening kepala yang tidak henti. Lalu saya ke klinik. Bagaimanapun, ia berlanjutan sehingga 8 hari.

“Dalam tempoh tersebut, saya ada lakukan pemeriksaan darah dan x-ray. Dari situlah, saya didapati mengalami gejala tersebut.

“Untuk dapatkan info, saya banyak isi masa cari maklumat di internet, selain turut cari kes terawal Covid-19 sehinggalah saya terlalu memikirkan soal tersebut sampai dapat anxiety,” akuinya.

Ryan juga ada memberi pesan kerana individu yang turut berdepan hal sama.

“Anda yang senasib dengan saya, perlu tenangkan diri dan elakkan baca benda-benda yang negatif kerana ia secara langsung boleh mempegaruhi minda dan akal kita.

“Paling penting, panjatkan doa agar semuanya kembali seperti biasa,: akhirinya.

Published by
MH