Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, akhirnya mengesahkan spekulasi mengenai pembelian sebuah kediaman mewah di Dubai seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Bagaimanapun, Siti menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa kediaman itu mencecah nilai puluhan juta ringgit.
“Semua orang ada impian dan memiliki kediaman di sana merupakan antara impian saya. Saya anggap pembelian hartanah itu adalah sebagai satu strategi pelaburan.
“Pun begitu, harganya tidaklah sebagaimana yang digembar-gemburkan. Saya rasa ia sangat melebih-lebih. Saya belum mampu lagi capai ke tahap itu.
“Kita lihat dari sudut positif, semua orang juga boleh memiliki apa yang mereka impikan jika kita berusaha sebaik mungkin,” katanya kepada MH.
Mengulas mengenai pemilihannya untuk memiliki rumah di Dubai, kongsi Siti, Timur Tengah merupakan salah satu lokasi strategik untuk memperkembangan perniagaan.
“Timur tengah merupakan salah satu pasaran yang sangat pesat. Saya mahu mencari peluang di sana. Lagi satu, lokasi tersebut menjadi pilihan saya kerana saya suka Dubai.
“Berkemungkinan satu hari nanti kerjaya saya akan berkembang di sana. Itu juga salah satu negara Islam yang maju.
“Segala yang terbaik ada di sana. Selain itu, saya juga bercadang ingin menggembangkan perniagaan di Timur Tengah. Ia merupakan negara yang pesat membangun,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Siti ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya yang ke-44 dan penubuhan kelab peminat, Sitizoners yang ke-19, di Magica Banquet Hall, di sini, sebentar tadi.
Pada Disember lalu, Siti ada berkongsi mengenai kediaman yang dibeli di Dubai itu menerusi beberapa hantaran di Instagram Stories.
Malah, anak tirinya, Ashraf Khalid juga ada menitip ucapan tahniah dan mahu manjadikan Siti sebagai sumber inspirasi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI