Pelakon dan model berdarah kacukan, Amelia Thripura Henderson akui kurang fasih dalam berbahasa Melayu, namun itu bukan halangan buatnya untuk terus aktif dalam seni tempatan.
Azamnya, dia tetap berusaha untuk menguasai bahasa kebangsaan agar lebih fasih di masa depan.
Atas hal tersebut, bintang cantik berusia 24 tahun itu sebelum ini tidak menafikan dirinya ada terima kritikan netizen kerana kurang fasih berbahasa kebangsaan.
Secara tidak langsung, ia menjadi satu pembakar semangat agar pelakon berdarah kacukan ini tetap terus mantapkan penguasaan bahasa Melayunya.
“Sampai sekarang ada juga yang bercakap mengenai tidak boleh cakap bahasa Melayu. Jadi, saya sedang berusaha dan saya benci orang cakap saya pelat.
“Namun apabila saya mahu berkomunikasi dengan kawan-kawan dalam bahasa Melayu, ia agak menjadi satu cabaran bagi saya,” katanya kepada MH.
Malah, pelakon berdarah kacukan lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantaraan sebelum ini.
“Ibu saya dari Malaysia tetapi dia dilahirkan dan dibesarkan di London, bapa saya pula memang mat salleh.
“Jadi sudah tentu kekuatan saya adalah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
“Bagi saya kalau seseorang itu tidak menggunakan bahasa Melayu dalam percakapan sehariannya, tapi sekurang-kurangnya sebagai rakyat Malaysia mereka perlu tahu asas-asas untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu,” jelasnya optimis.
Amelia ditemui pada majlis sidang media Dewi Remaja Edisi 2019/2020 yang berlangsung di The Starling Mall, Damansara Utama, baru-baru ini.
Menggalas tanggungjawab sebagai pengacara bagi program Dewi Remaja 2019/2020, Amelia merasakan itu merupakan cabaran baginya kerana pertama kali mengacara dalam bahasa Melayu.
Dewi Remaja Edisi 2019/2020 bakal disiarkan di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), pada setiap Sabtu, jam 9 malam bermula 26 Oktober ini.
Seramai 12 peserta akan diadili dua juri tetap iaitu Yusry Abdul Halim dan pemenang Dewi Remaja Edisi 2005/2006 Scha Alyahya.
Foto : Instagram Amelia