Putra Amaris mengakui tertekan apabila namanya terpalit dengan isu besar sehingga menjejaskan kerjaya dan keluarga. Enggan mengulas lanjut kontroversi yang melanda, namun pelakon ini memohon agar Datuk Vida tampil memberi penjelasan sekaligus membersihkan namanya kepada mangsa terlibat.

Menjelaskan kepada Media Hiburan, dia telah menemui pihak polis meminta khidmat nasihat atas alasan keselamatan dan memberi tempoh dengan kadar segera kepada usahawan itu sebelum tindakan diambil.

Setakat ini, saya bersyukur kerana isteri dan keluarga memahami apa yang berlaku. Saya boleh bersabar namun jangan sesekali menguji kesabaran saya.

“Kalau ikutkan saya tidak mahu mengulas isu ini namun ia melibatkan maruah diri dan keluarga dan sebab itu dia harus bersihkan nama saya. Jujurnya saya tertekan dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila nama saya turut terpalit dengan isu besar ini.

“Saya tidak mahu bergaduh namun kenyataan dia, susah untuk digambarkan. Saya mahu bersihkan nama kepada umum. Isu ini sangat besar kerana melibatkan VVIP, kerajaan dan kerabat. Jika tidak saya akan ambil tindakan. Saya sudah merujuk kepada pihak polis dan mereka mengesahkan kenyataannya berunsur ugutan. Saya mahu dia bersihkan nama saya daripada isu ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Pra Pelancaran Program Karnival HISCE 2019 di Menara Matrade semalam.

Ulas lelaki ini lagi, dia difahamkan oleh penyanyi I Am Me, isu ini telah diselesaikan, namun menerima respon berbeza daripada mangsa.

“Saya mohon lagi sekali supaya dia bersihkan nama saya. Dia faham apa yang saya maksudkan. Lebih elok sekiranya diselesaikan segera.

“Mengikut kenyataan dia sebelum ini, isu ini telah diselesaikan dengan pihak terbabit. Namun apabila saya hubungi mereka yang terlibat, isu ini belum selesai. Nasihat saya, minta selesaikan dengan segera sebelum tindakan diambil,” jelasnya yang kini sedang giat mempromosi kuih tat Amaris Mytart dan wangian Francesc Fragrance.

Putra Amaris atau nama sebenar Amran Ismail turut mengambil kesempatan menjelaskan dia tidak pernah menjadi sebahagian warga kerja Datuk Vida, sebaliknya hanya membantu atas kapasiti sahabat.

Dia turut terkilan apabila usahawan itu mengungkapkan kata-kata “saya nak sepak awak pun boleh’ ketika pertemuan singkat di Star Vendors di Sabah awal bulan lalu. Malah dia turut diminta memulangkan semula barangan yang pernah diberikan oleh jutawan berkenaan.