Hiburan

“Saya Bertanya, Dia Tak Menjawab,” – Zaki Yamani Pilih Bayar Sendiri Masuk IPTS, Jamal Abdillah Tak Akan Abai Tanggungjawab

Share

Penyanyi senior, Datuk Jamal Abdillah menegaskan dia akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa untuk membiayai pengajian anaknya yang juga penyanyi, Zaki Yamani.

Menurut Jamal, dia juga akan sentiasa menyokong apa sahaja pilihan anaknya itu.

“Sejak kecil, Zaki memang jarang ada dengan saya. Dia banyak bersama ibunya. Sebagai seorang bapa yang tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, saya sentiasa bersabar dan relakan apa sahaja kehendaknya.

“Mengenai biaya pelajarannya, sebagai bapa, saya akan teruskan,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu berkata sedemikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Amal Night of Love & Compassion, baru-baru inu.

Jelas Jamal lagi, meskipun jarang berkomunikasi, dia juga enggan menambah tekanan di dalam hidup anaknya itu.

“Sebelum ini, saya ada bertanya tentang keputusan SPM Zaki tapi dia tidak menjawab apa-apa. Sehingga hari ini saya tidak tahu bagaimana keputusannya.

“Nenek dia ada bagitahu saya yang Zaki mahu melanjutkan pengajian di UiTM dalam bidang muzik. Namun, agak susah untuk dia lepas syarat kelayakan kerana dia perlu mahir satu alat muzik.

“Jadi, dia pilih ke universiti swasta. Itulah yang saya dengar kerana saya tidak dapat berita apa-apa. Saya faham situasi ini. Keputusan di rumah dan ketika bersama ibu adalah berbeza.

“Untuk tidak mengeruhkan keadaan dan mengganggu kehidupan dia, saya biarkan dan ikuti sahaja perkembangannya,” ujarnya lagi.

Ditanya adakah dia mengambil maklum mengenai keputusan Zaki yang ingin menanggung sendiri biaya pelajarannya di universiti, ini reaksi Jamal;

“Kita sendiri tak tahu keputusan itu datang dari mana. Adakah itu keputusannya sendiri? Apapun, saya akan tetap reda dengan segala pilihan anak-anak.

“Terpulanglah kepada mereka. Kita tidak boleh paksa ikut acuan kita. Sama juga seperti saya ketika muda dahulu. Arwah ayah saya nak saya jadi lain tapi saya pilih bidang seni,” katanya lagi.

Pada masa sama, Jamal turut memaklumkan dirinya akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai bapa selagi hayatnya masih ada.

“Itu memang tanggungjawab saya. Saya berhentikan seketika haritu kerana dia sudah habis bersekolah. Seperti Usamah, saya masih tanggung kerana dia nak melanjutkan pengajian degree.

“Malah, dia duduk bersama saya. Namun, Zaki pula tinggal bersama ibunya. Saya faham keadaan dan situasi semasa dia.

“Sebagai ayah, saya akan tetap jalankan tanggungjawab terutamanya ketika mereka ingin sambung belajar,” akhirinya.

Terdahulu, Zaki mendedahkan dia sanggup berhabis sebanyak RM40,000 untuk menyambung pengajiannya dalam bidang muzik di sebuah IPTS.

Tambah Zaki, dia juga tidak memberitahu mengenai perkara itu kepada Jamal dan berkongsi khabar itu dengan orang terdekat

Published by
Aizam Manaf