Pelakon veteran, Kamarool Yusoff menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan pihak Yaya Empire yang kekal menjadikannya wajah wakilan bagi wangian yang dikeluarkan sejak lima tahun lalu.
Menurut Cik Man, 67, dia menghargai amanah yang diberikan selain terharu kerana masih terus menjadi pilihan usahawan asal Kelantan itu.
“Saya sendiri terima dengan hati terbuka bila Yaya Empire tawarkan untuk jadi duta sejak lima tahun lalu dan saya tertarik kerana ia diusahakan oleh anak muda dan berasal dari negeri kelahiran saya.
“Tidak kisah kita popular atau tidak, tua mahupun muda kalau kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam melakukan tugasan pasti akan nampak hasil.
“Bagi saya bila orang percaya kita berikan yang terbaik dan saya juga beruntung kerana masih ada peminat yang terus sokongan saya,” katanya yang sudah berlakon dalam lebih dari 50 buah filem, termasuk Gila-Gila Remaja dan Rock Oo!
Sementara itu, Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa berpendapat, artis veteran juga mempunyai tarikan dan keupayaan tersendiri sekali gus mampu melariskan sesuatu produk.
Malah, pendekatan yang diambil pihaknya itu berbeza dengan rakan pengasas lain yang dilihat lebih cenderung untuk mengambil selebriti yang lebih muda dan popular.
“Pada kami, Cik Man memberikan komitmen yang sangat bagus terutama dalam membuat kandungan (konten) menarik. Ia sekali gus mampu menarik perhatian semua peringkat umur.
“Lebih menarik apabila kanak-kanak seawal usia tiga tahun juga ada yang mengenali Cik Man dan kami menerima makluman sangat positif daripada pelanggan kami.
“Cik Man juga tidak berkira soal bayaran malah bersetuju kerana mahu membantu usahawan tempatan terutamanya yang berasal dari Kelantan,” katanya.
Nadia yang juga mesra disapa sebagai Kak Ya menambah, Cik Man mempunyai peminat daripada pelbagai peringkat usia dan ia diterjemahkan menerusi sokongan terhadap pembelian produk oleh syarikatnya.
Selain Cik Man, pelakon, penyampai radio dan pelawak, Issey Fazlisham serta pempengaruh media sosial, Mia Azhar turut dilantik sebagai duta produk bagi jenama berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Yaya Empire yang turut menjadi penaja dalam karnival jualan di Kelantan yang membabitkan usahawan tempatan serta menganjurkan konsert percuma menarik lebih 10,000 penduduk tempatan di Pantai Sri Tujuh Tumpat pada Jumaat lepas.
Selain persembahan dikir barat oleh kumpulan Sri Budi Jati serta penyanyi dikir tempatan, Datuk Jamal Abdillah dan Haqiem Rusli turut menghiburkan penonton.
Lebih menarik Jamal turut menyampaikan lagu popularnya Sendiri dalam versi dikir barat bersama Ezeri Layang Putih yang digelar Datuk Jamal versi Kelantan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini