Meskipun pernah beraksi dalam genre seram sebelum ini, namun aktres popular, Uqasha Senrose mengakui filem Sumpahan Jerunei arahan Jason Chong memberikan pengalaman berbeza dan paling mencabar buatnya.
Menurut Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 31, dia melakonkan watak Bee, pegawai pemeliharaan warisan yang meminati perkara mistik dalam filem terbitan Produksi Seni 2020 milik Datin Wendy Wong dan Datuk Nancie Foo itu.
“Watak Bee ini penting kerana membawa kumpulan pengkaji yang terdiri dari Profesor arkeologi, Doktor Sani; Arjuna (bekas pelajar), Hana (pegawai pemeliharaan warisan) dan Tommi (jurukamera dan You Tuber) ke tempat jerunei yang misteri itu.
“Bukan senang untuk saya memaksa semua anggota kumpulan ke tempat tiang jerunei itu di mana akhirnya roh itu pula masuk ke dalam diri saya,” katanya.
Dalam filem Sumpahan Jerunei, Uqasha bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Tony Eusoff, Daiyan Trisha, Yuyun Hikmah dan ramai lagi.
Mengenai persiapan watak pula, kata Uqasha, dia membuat persiapan rapi untuk menjiwai karakter Bee dalam filem itu.
“Kami ada sesi pembacaan skrip untuk memahami karakter masing-masing. Ia bukan pre-produksi seperti drama biasa sebaliknya perlu memahami skrip dan karakter dengan lebih mendalam,” katanya lagi.
Pada mulanya, kata Uqasha, dia berasa risau dan tidak senang duduk kerana bimbang tidak dapat melakonkan karakter Bee seperti dikehendaki pengarah.
“Saya juga baca skrip hingga empat kali sehingga benar-benar memahami karakter Bee dan skrip juga banyak kali diubah.
“Selepas memakai kostum sebagai pegawai pemeliharaan warisan dengan solekan serta rambut yang ringkas, secara perlahan ‘feel‘ itu datang sendiri.
“Selaku pengarah, Jason juga akan menegur jika kami tidak menjiwai watak seperti dikehendaki skrip,” katanya.
Berkongsi cabaran dalam filem itu pula, terdapat banyak babak aksi lagak ngeri juga dilakukan Uqasha sendiri.
“Setiap babak dalam filem ini sukar. Antaranya, babak saya kena ikat dan naik atas pokok dan pokok jatuh depan muka.
“Saya juga buat babak ‘under water’ sendiri di mana saya kena ikat bawah air yang dalam. Selain itu, saya juga melakukan babak mandi dalam air sungai yang kotor dan menjadi tempat bahan buangan dari tandas termasuk najis di kampung berkenaan,” katanya.
Berkongsi penggambaran pula, ia membabitkan tempoh sebulan dan lokasi bermula di Mukah dan seterusnya, Kuching, Sarawak.
“Penggambaran filem ini banyak dalam hutan di kampung pedalaman di Kuching. Selain itu, ia juga membabitkan lokasi di tiang jerunei di mana ritual hamba yang dikorbankan pada abad ke-16.
“Tiada gangguan ketika penggambaran kerana kami sangat berhati-hati bila ‘shooting’ di lokasi seram bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan barisan pelakon, kata Uqasha, dia berasa dirinya kerdil bila berganding dengan barisan pelakon hebat seperti Bront, Amerul dan Tony Eusoff.
“Ia juga kali pertama saya berganding dengan Bront, Amerul dan Tony dalam filem ini. Namun, saya pernah bekerja dengan Syafie Naswip sebelum ini
“Terus terang, saya berasa diri ini kecil jika nak dibandingkan dengan nama besar seperti mereka kerana mereka sangat menjiwai karakter.
“Namun, mereka tidak letak jurang dengan saya ketika penggambaran filem ini. Kami juga ditempatkan dalam satu apartmen dan masak bersama seperti keluarga besar sehingga penggambaran filem selesai,” katanya.
Filem Sumpahan Jerunei mula ditayangkan di pawagam seluruh tanah air pada 27 Julai depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini