“Saya Buat Benda Ni Bukan Sebab Dah Mula Mengaji…,” – Beri Tips Cara Hilangkan Tekanan, Nabila Huda Saran Didik Diri Sentiasa Bersyukur

Share

Pelakon dan pengacara, Nabila Huda atau lebih mesra dengan panggilan Abil memberitahu ada segelintir peminatnya yang sering bertanya bagaimana menangani tekanan masalah hidup kepada dirinya.

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di akaun Instagram baru-baru ini, ibu kepada seorang cahaya mata itu menyarankan, kepada sesiapa yang sedang berdepan situasi demikian agar menzahirkan rasa syukur dalam diri.

“Pertama sekali saya akan pejam mata kemudian tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan secara perlahan-lahan.

“Selepas itu saya akan senyum seikhlas hati dan apabila saya senyum tu saya akan cakap dalam hati Ya Allah tuhanku, terima kasih atas nikmat yang kau beri padaku, aku bersyukur sangat-sangat Ya Allah terima kasihlah.

“Tapi jangan lupa senyum tau. Pada saya, bila kita senyum dan ketawa dia akan hilangkan semua masalah dalam hidup kita. Walaupun masalah itu tidak selesai lagi tapi bagi saya masalah itu akan selesai.

“Bila atau bagaimana kita tak tahu tapi ia akan selesai. Apa yang penting adalah sekarang, tak akan kita nak murung sepanjang masa jadi cuba praktikan benda itu dan car aini berkesan, percayalah apa yang saya cakap ni,” katanya.

Dalam pada itu, hos rancangan Melodi ini memberitahu, langkah tersebut dipraktikkan dirinya sejak sekian lama.

Malah, bintang berusia 36 tahun ini turut mengakui adakalanya dia berasa tertekan dengan setiap masalah hidup yang pernah dihadapinya sebelum ini.

Namun, dia tidak pernah berasa benci dengan setiap masalah yang pernah dihadapinya selain menyifatkan itu sebagai satu proses menjadi dirinya lebih matang.

“Saya buat benda ni bukan sebab saya dah mula mengaji, masuk kelas agama dan sebagainya tapi dari dulu saya memang selalu buat benda ni. Pada saya, bila saya pejamkan mata saya rasa itu adalah masa untuk diri saya dengan Allah.

“Setiap orang ada masalah cuma masalah yang datang pada setiap orang itu berbeza, masing-masing ada bahagian masing-masing. Saya sudah lalui pelbagai masalah dalam hidup, kalau saya ingatkan balik ia merupakan satu kenangan untuk diri saya.

“Saya tak pernah benci masalah yang pernah berlaku dalam hidup saya sebab saya ambil benda ni sebagai untuk mematangkan diri saya. Jadi saya sentiasa bersyukur setiap masa dan hidup ini terlalu singkat jadi jangan terlalu banyak berfikirnya,” katanya lagi.

Foto: Instagram Nabila Huda

Published by
Nazar Rafiqhi