“Saya Buat Silap, I’m Messed Up,” – Buang Cincin Berlian Dalam Sungai, Ismail Izzani Dedah Hubungan Dengan Shalma Eliana Berakhir

Share

Penyanyi dan pelakon, Ismail Izzani akhirnya memaklumkan hubungannya bersama kekasih hati yang juga merupakan penyanyi, Shalma Eliana kini telah pun berakhir.

Menerusi satu temu bual bersama Melodi, Ismail memaklum dia dan Eliana kini memilih untuk membawa haluan mereka sendiri bagi memberikan sepenuh tumpuan terhadap kerjaya masing-masing.

“Ya memang benar hubungan saya dengan Shalma Eliana dah putus. Kami memilih untuk membuat haluan masing-masing. Saya pun ada banyak lagi perkara yang saya nak explore dan lalui. Begitu juga dengan Eliana.

“Kami masih lagi berkawan. Itu yang membuatkan saya gembira. Macam-macam perkara yang telah berlaku dan saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengenali diri saya dengan lebih lanjut,” katanya seperti yang dipetik.

Ketika ditanya adakah perhubungan tersebut berakhir disebabkan orang ketiga atau pun salah seorang berlaku curang, ini jawapan yang diberikan oleh penyanyi lagu, Bidadari itu;

“Apa yang boleh saya katakan, saya ada buat silap. I’m messed up.

“Pada masa sama juga, saya tidak mahu cakap yang saya akan belajar daripada kesilapan saya kerana fokus saya ketika ini adalah untuk diri saya, keluarga dan orang-orang di sekeliling yang banyak bagi semangat,” kongsinya lagi.

Menerusi temubual yang disiarkan pada Ahad, pihak Melodi juga sempat mendapatakan reaksi daripada Eliana sendiri berhubung kisah percintaan mereka itu.

Jelas Eliana, kedua-dua mereka masih lagi muda dan banyak lagi perkara yang harus mereka pelajari.

“Kami masih lagi muda dan banyak lagi perkara yang harus kami belajar. Tapi tak mengapalah, perjalanan saya dengan Ismail masih lagi panjang.

“Walau apa pun yang terjadi diantara kami, tiada apa-apa kerugian pun sebenarnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Naik ini turut memberitahu, cincin berlian yang pernah diberikan oleh Ismail sebelum ini sudah tidak ada lagi bersamanya.

“Dia selalu bagi saya hadiah. Saya pun begitu juga. Saya rasa perkara tersebut adil dan tidak perlu rasanya untuk kami pulangkan apa-apa.

“Lagi pun, cincin itu sudah tiada lagi dengan saya. Tangan saya pun dah kosong. Sebenarnya ada tragedi yang berlaku,” luahnya.

Berkongsi mengenai cincin tersebut, Ismail memaklumkan dia dan Eliana telah pun bersepakat untuk membuangnya ke dalam sungai.

“Ada satu perkara yang terjadi pada cincin itu. Sebelum ini, saya dan Eliana ada pergi berkhemah dengan beberapa orang kawan. Semasa kami di sungai, saya cakap dengan Eliana, apa kata kita buang je cincin ini. Itu adalah momennya.

“Meskipun ia merupakan detik yang agak sukar namun, saya rasa itu juga merupakan perkara yang terbaik untuk Eliana. Saya gembira dengan keadaan dia sekarang. Dia semakin bermotivasi dan banyak meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan,” akhirinya.

Sumber: Youtube Melodi & Instagram Ismail Izzani

Published by
Aizam Manaf