Hiburan

“Saya Bukan Culture Shock…,” – Nurel Baharin Juara Dewi Remaja 2023 Kebanggaan Sarawak, Ulas Isu Seksi

Share

Nurel Baharin bersyukur kerana dapat merialiasikan impian rakyat di negeri Sarawak yang mahu melihatnya merangkul gelaran Juara Dewi Remaja 2023.

Lebih manis apabila Nurel turut melakar sejarah apabila menjadi juara pertama daripada negeri yang terkenal dengan jolokan ‘Bumi Kenyalang’ itu.

“Pada mulanya, perasaan itu agak berat. Kalau saya tak dapat nak bergelar juara, orang-orang di Sarawak akan kecewa. Ramai yang mengharapkan saya.

“Alhamdulillah, akhirnya saya dapat bergelar juara dan mambuatkan rakyat-rakyat di Sarawak berasa bangga,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Nurel atau nama sebenarnya Nurelyana Baharin mendedahkan dirinya amat meminati bidang seni sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Saya berkecimpung di dalam dunia seni ini sejak berumur sembilan tahun. Saya merupakan seorang penari. Kemudian saya sertai kelab teater sehinggalah ke sekolah menengah.

“Kemudian, ibu minta saya fokus duduki SPM sekiranya mahu merantau ke semenanjung. Selepas dapat keputusan yang baik, saya melanjutkan pengajian dalam bidang teater,” katanya lagi.

Pada masa sama, Nurel turut menyifatkan program Hero Dewi Remaja 2023 telah memberikan keyakinan buat dirinya untuk melebarkan sayap di dalam industri seni.

“Sebelum ini, keyakinan saya agak kurang. Saya hanya berani pergi ke ujibakat iklan tv. Jika ke ujibakat drama, lakonan saya sering dapat kritikan.

“Namun, saya kembali temui keyakinan selepas menyertai Hero Dewi Remaja 2023. Banyak ilmu yang saya pelajari sehingga dinobatkan sebagai pelakon aksi wanita terbaik ketika tugasan lakonan di program ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nurel akui sudah bersedia untuk menggalas nama baik sebagai juara Dewi Remaja yang baharu.

“Saya memang sudah bersedia. Seperti mana anda melihat saya di kaca tv, atas pentas atau media sosial, begitu juga saya di dunia luar.

“Tiada beza pun ketika saya di hadapan atau di belakang kamera. Cuma ada beberapa hal yang perlu saya kawal seperti cara saya ketawa,” katanya.

Mengulas mengenai tanggapan segelintir pihak yang mempersoalkan mengenai imejnya yang dikatakan agak seksi, ini reaksi yang diberikan Nurel;

“Apa yang anda lihat di akaun media sosial saya, begitulah pemakaian saya selama ini. Ada yang kata saya ini seperti ‘culture shock’ tapi sebenarnya tidak. Sama sahaja diri saya yang dahulu dan sekarang.

“Mungkin pemakaian saya ketika menjadi finalis Hero Dewi Remaja agak berbeza tapi tak lari jauh dengan diri saya.

“Jadi, sebelum nak persoalkan imej saya, lebih baik nilai dahulu cara-cara saya sebelum ini,” akhirnya.

Terdahulu, selain bergelar juara, Nurel juga telah dinobatkan selaku Dewi Favourite hasil undian daripada peminat.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf