Hiburan

“Saya Bukan Hisap Batu Atau Apa Sahaja Korang Tuduh,” – Hafiz Suip

Share

Penyanyi, Hafiz Suip menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan perubahan drastik berat badannya disebabkan pengambilan bahan terlarang.

Menurut Hafiz, dia kini amat menjaga kesihatan tubuh badannya untuk mengelak penyakit slip dics terus melarat.

“Alhamdulillah, sebab itulah ramai yang melihat badan saya kurus ketika ini. Saya bukan hisap batu, dadah dan segala benda yang orang di luar sana menuduh saya.

“Saya menjaga kesihatan dengan pergi ke gimnasium dan sertai kelas tinju. Saya sudah sertai hampir dua bulan.

“Saya sertai tinju bukan sebab nak bergaduh tapi untuk kecergasan badan, ketahanan diri dan kesihatan. Itulah sebab saya kurus,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Ku Akui itu berkata sedemikian ketika ditemui selepas berakhirnya Konsert ByAjai & Mega Friends yang berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam pada itu, penyanyi asal Kuching, Sarawak ini juga memaklumkan keadaan tulang belakangnya kini sudah menunjukkan perubahan positif namun harus perlu berhati-hati.

“Seperti semua tahu, saya pengidap slip dics sejak 2016. Sebab itu saya kena menjaga kesihatan. Saya tidak disarankan untuk menjalani pembedahan.

“Ketika awal diagnos mengidap slip dics, saya baru berusia 24 tahun. Ketika itu, saya masih muda dan doktor tidak cadangkan untuk pembedahan.

“Saya diminta menjaga makan dan berat badan. Keadaan saya kini Alhamdulillah. Nak kata okay sangat pun tak boleh juga. Penyakit ini tiada penawar.

“Jadi, saya perlu menjaga keadaan otot tulang belakang. Sebab itulah saya banyak buat senaman pull up bar,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Hafiz akui teruja apabila dapat kembali beraksi di pentas berprestij selepas beberapa bulan memilih untuk berehat daripada industri seni.

“Saya ingin berterima kasih kepada Abang Ajai kerana memberikan peluang dan mempercayai diri saya untuk membuat persembahan di atas pentas.

“Perasaan saya agak bercampur baur kerana sudah lama saya tidak membuat persemban di acara seindah dan sebesar ini.

“Malam ini sangat seronok dan saya telah berikan 120% ketika persembahan,” ujarnya lagi.

Bercakap mengenai respon penonton yang sangat teruja melihat kemunculan Hafiz sehingga memberikan standing ovation, Hafiz memaklumkan dirinya kini makin bersemangat untuk kembali aktif di dalam dunia nyanyian.

Lantaran itu, Hafiz mengumumkan dirinya bakal mengadakan konsert solo pada Oktober nanti di bumi kelahirannya Kuching, Sarawak.

“Ya Allah, sejujurnya saya rasa sangat bahagia dan agak terkejut juga. Saya tak sabar untuk mengadakan konsert solo pada bulan Oktober nanti di Kuching, Sarawak.

“Persiapan pun kini sedang giat berjalan. Saya nak buat konsert di Kuching dahulu kerana selama 15 tahun saya berkarya, saya banyak memberikan tumpuan terhadap negeri-negeri semenanjung sahaja.

“Kini saya ingin pulang ke kampung,” akhirinya.

Terdahulu, kemunculan Hafiz di Konsert ByAjai & Mega Friends mendapat sorakan gemuruh daripada para penonton.

Pada malam tadi, juara program Akademi Fantasia musim ke-7 ini membawakan dua buah lagu iaitu Tak Mungkin Kerana Sayang nyanyian asal Datin Alyah dan lagu hitsnya Ku Akui.

Kedua-dua buah lagu ini merupakan karya ciptaan Ajai.

Selain Hafiz, antara penyanyi yang turut membuat persembahan bersama Ajai adalah Aina Abdul, Aufahanie, Hazama dan Dayang Nurfaezah.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf