Selebriti dan usahawan, Ifa Raziah terbuka untuk menerima penyertaan daripada rakan penggiat seni untuk bersama-sama dengannya berniaga dalam setiap festival yang dianjurkan.
Ifa yang juga Pengarah Urusan dan Pengasas Star Vendors Event Sdn Bhd berkata, dia juga tidak mahu untuk terlalu selektif di dalam soal pemilihan artis kerana baginya, rezeki itu luas dan setiap daripada mereka mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.
Bagaimanapun, Ifa meletakkan syarat agar mereka yang terlibat perlu memberikan komitmen seratus peratus selain mempunyai produk jenama sendiri.
“Saya mengalu-alukan kehadiran mereka dan bukan jenis pilih bulu bila ada rakan artis yang berminat untuk bersama-sama cari rezeki berniaga dengan saya. Awak popular atau tidak ke, muda ke, tua ke… semua dipelawa untuk sertai.
“Cuba kalian tengok barisan artis yang pernah bersama saya. Daripada sekecil-kecil nama hinggalah yang legenda atau popular. Saya suka nak berikan peluang kepada semua artis. Kalau ada yang nak join, saya lagilah berbesar hati dan rasa seronok.
“Cuma yang penting, saya akan pastikan mereka ada produk sendiri, bukan atas nama orang lain. Malah saya pun banyak tolong rakan artis yang nak tambah pendapatan untuk keluarkan produk sendiri. Bukan saja artis, rakan wartawan pun saya selalu ajak mereka untuk berniaga,” katanya.
Ifa berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media Majestic Johor Fest 2023 x Star Vendors Foodfestival di Hard Rock Cafe, Puteri Habour, Johor, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, dia juga cuba memberikan layanan terbaik kepada barisan artis terlibat seiring dengan komitmen yang diberikan mereka.
“Saya cuba untuk layan sama rata. Boleh tanya kepada artis yang terlibat. Tiada istilah kau popular dan kau akan dapat perhatian yang lebih. Sebab saya pun artis dan saya tidak mahu ada rakan sendiri yang terasa hati.
“Saya sendiri pun bermula daripada ‘zero’ sehinggalah berada pada tahap sekarang. Jadi saya faham situasi. Jujur saya cakap, yang menangis pun ada bila saya setuju nak kerjasama dengan mereka sebab tidak dinafikan, peluang begini bukan selalu mereka dapat,” katanya lagi.
Sementara itu, Majestic Johor Festival 2023 kini kembali lagi buat tahun kedua, anjuran Tourism Johor yang sekaligus mengumpul para usahawan daripada pelbagai sektor seperti fesyen, kecantikan, kesihatan, kembara, makanan , minuman dan lain-lain.
Selain itu, penglibatan agensi-agensi kerajaan bersama penglibatan 10 daerah Negeri Johor akan difahamkan akan membawa pelbagai produk dan perkhidmatan dari daerah masing-masing.
“Pihak kami bebesar hati kepada Tourism Johor yang telah memberi peluang kepada Star Vendors Event Sdn Bhd untuk menguruskan acara untuk tahun ini. Objektif utama acara ini dijalankan adalah untuk menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan keluarga yang mesti di kunjungi.
“Tambahan lagi, ianya bagi meningkatkan jalinan kerjasama dengan semua pihak yang bertanggungjawab dalam usaha untuk mempromosikan negeri Johor dan keistimewaan setiap daerah. Di samping itu, matlamat penganjuran ini juga adalah untuk memberi platform yang eksklusif kepada usahawan tempatan dan selebriti tanah air untuk berniaga.
“Majestic Johor Festival 2023 akan bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam pada 26 Ogos hingga 3 September 2023, 9 hari berturut-turut dan masuk adalah percuma,” katanya lagi.
Lebih menarik, festival kali ini juga bakal meraikan Pasukan JDT sempena ulang tahun penubuhannya ke 10 dan pengunjung juga boleh menyaksikan Konsert Road Tour Gegar Vaganza yang dihoskan oleh Ifa sendiri.
Pada masa sama, perarakan kemerdekaan dan sambutan kemerdekaan juga bakal dilangsungkan.
Majestic Johor Festival 2023 juga menyaksikan pembabitan 60 artis terkenal tanah air yang turut membuka ‘booth’ dan menjual rangkaian produk mereka sendiri. Antaranya, Wak Doyok, Dato Sri Aliff Syukri, Khai Bahar, Sherry Ibrahim, Black Hanifah, Noraniza Idris, Hafiz Suip, Reen Rahim, Nadia Brian, Ramlah Ram dan ramai lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini