Pelakon meningkat naik, Nadhir Nasar manafikan tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dirinya terlalu selektif dalam soal pemilihan naskah lebih-lebih lagi apabila dia sering kali kelihatan banyak membintangi drama-drama terbitan Astro.
Menurut Nadhir, dia sebenarnya tidak mempunyai niat untuk terlalu memilih cuma kebetulan sahaja rezekinya pada ketika ini banyak bersama Astro.
Katanya lagi, genre-genre drama yang ingin diketengahkan oleh pihak Astro juga boleh disifatkan amat berbeza jika ingin dibandingkan dengan kebanyakan naskah yang lain.
“Saya ada terdengar juga suara-suara orang berkata yang saya ni masih baru lagi tetapi nampak macam terlalu memilih naskah. Sejujurnya saya tidak memilih pun.
“Cuma mungkin rezeki saya ketika ini banyak di Astro. Saya juga selesa berkerja dengan mereka. Apa yang bagusnya drama di Astro Original ni kebanyakannya premium. Jalan ceritanya juga bukan cliche atau biasa.
“Salah satu misi saya untuk memasuki industri seni ini adalah untuk membawa perubahan pada masa hadapan dan bukan untuk diri saya sahaja. Saya juga ingin mengubah cara penyampaian lakonan,” katanya kepada MH.
Juara program Hero Remaja 2020 itu berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media drama siri, I-Tanggang yang berlangsung pada Selasa.
Dalam pada itu, Nadhir turut memaklumkan dia mempunyai sebab yang tersendiri mengapa dia terpaksa menolak seandainya diberikan kepercayaan untuk membawak sebagai hero.
Tambahnya lagi, dia kini memerlukan sedikit waktu bagi mempersiapkan diri sebelum memegang peranan sebagai watak utama.
“Sebenarnya saya ada menerima beberapa tawaran untuk menjadi hero tetapi buat masa ini saya memilih untuk menolak. Saya rasa ilmu saya belum cukup untuk memegang peranan selaku watak utama. Saya mahu dahulukan orang yang lebih layak.
“Kalau boleh saya ingin mempersiapkan dahulu kualiti lakonan saya sebelum saya memegang watak-watak yang lebih besar. Buat masa ini saya selesa membawa peranan sebagai ‘second lead’.
“Saya juga mengambil berat mengenai soal skrip. Saya kena tahu dulu sama ada watak tersebut mampu atau tidak untuk saya bawakan. Saya ni bukan jenis yang terima apa sahaja tawaran kerana duit tetapi sebab saya ingin buat yang terbaik.
“Saya ingin kekal dalam industri ini dalam jangka masa yang lama. Kata orang kalau kita ‘naik’ terlampau cepat, kita ‘turun’ pun akan cepat nanti. Segalanya tetap bergantung pada rezeki dan kerja keras kita juga,” ujarnya lagi.
Terdahulu drama I-Tanggang bakal menemui penonton mulai 13 September 2021, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam di Astro Citra, saluran 108.
Selain Nadhir, drama ini turut dibintangi pelakon-pelakon hebat yang lain antaranya Sherie Merlis, Faizal Hussein, Danish Hazriq, Sofea Jane dan ramai lagi.
Sumber foto: Instagram Nadhir Nasar
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI