Penerbit di rumah produksi Kembara Sufi Production Sdn.Bhd, Jaja Ishak kurang bersetuju dengan trend pemilihan selebriti media sosial sebagai pelakon.
Jaja tidak menafikan, industri lakonan lokal sebenarnya mempunyai ramai lagi pelakon berbakat yang boleh diketengahkan dalam mana-mana karya terbitannya, berbanding meletakkan ‘influencer’ semata-mata.
Dia bagaimanapun mengakui, ada di antara mereka yang boleh digilap bakatnya dan masing-masing tidak salah untuk memberikan pendapat.
“Saya bukan menentang, tapi saya kurang bersetuju dengan trend sebegini. Bagi saya, banyak lagi pelakon berbakat yang boleh dipilih. Mengapa tidak untuk ambil mereka berlakon kerana kita sedia tahu akan bakat yang ada dalam diri mereka?
“Tapi saya tak nafikan, ada ‘influencer’ yang ad bakat berlakon, tapi ada juga di antara mereka yang hanya bersandar populariti di media sosial semata-mata.
“Kalau belum sampai tahap boleh berlakon baik, harap mereka ini ada inestiatif sendiri untuk asah bakat, misalnya hadir ke kelas lakonan, berlatih lontarkan dialog dan sebagainya,” katanya.
Mengulas mengenai hal tersebut, Jaja terbuka dan percaya ada juga Instafamous yang ada usaha untuk memajukan diri dalam lakonan.
“Mengapa tidak kan? Cuma itulah, semuanya terletak pad diri masing-masing. Kalau ditanya mengenai perkara tersebut, itulah jawapan saya,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Jaja kini sedang menerbitkan drama bersiri 15 episod berjudul Saat Kau Takluk Cinta Ini lakonan Idris Khan, Intan Najuwa, Shakilla Khoriri dan ramai lagi.
Drama adaptasi novel karya Sara Hezra ini diarahkan oleh Zamri Zakaria dan bakal bersiaran di slot Samarinda TV3.
Pada masa sama, drama Anak Sena terbitan produksinya juga bakal bersiaran di slot Lestary TV3 tidak lama lagi.
Anak Sena dibarisi pelakon popular seperti Ben Amir, Shasha Abedul, Farah Ahmad dan ramai lagi.