Pelakon dan pengacara, Sean Lee membuat percubaan berani untuk terjun ke bidang muzik selepas melancarkan single pertama yang berjudul Tak Sanggup Terima.
Bagaimanapun, menurut Sean, penglibatannya dalam bidang muzik bukanlah untuk bersaing dengan penyanyi-penyanyi hebat sebaliknya dia hanya mahu membuka ruang baharu untuk berkarya.
“Sebenarnya sudah lama saya berhasrat nak masuk dalam bidang muzik. Tujuan saya terjun ke bidang ini bukan untuk bergelar penyanyi terhebat.
“Saya bukan nak melawan Aina Abdul atau penyanyi-penyanyi bertaraf Anugerah Juara Lagu. Namun, kalau ada rezeki sampai ke situ, itu adalah bonus.
“Saya ceburi bidang muzik ini sebagai salah satu cara lagi saya mengekspresi diri. Ia sama seperti ketika kita berkarya untuk menerbitkan drama, filem dan filem pendek,” katanya kepada MH.
Pelakon drama, Cinta Buat Dara ini berkata sedemikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Top 5 Gempak Most Wanted Awards 2023 di Dadi Cinema Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada masa sama, Sean turut memaklumkan dirinya gemar bereksperimen untuk mencari muzik yang sesuai dengan identitinya.
“Muzik ini terlalu universal. Saya tidak meletakkan sekatan terhadap pemilihan muzik saya. Saya tak kisah sangat lagu apa yang saya nak bawakan kerana saya tahu saya tiada asas dalam bidang nyanyian.
“Saya hanya nak cipta muzik saya sendiri. Saya nak bereksperimen mencari bunyi-bunyian yang terbaik. Saya nak curahkan idea saya dalam bidang muzik.
“Saya memang serius nak ceburi bidang ini tapi saya ada kekangan masa dengan komitmen sebagai pelakon dan pengacara,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Sean juga memaklumkan dirinya sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan berkenaan percubaan pertamanya.
Malah, salah satu video promosi lagu ini juga telah dikritik kerana dikatakan seolah-olah meniru gaya nyanyian penyanyi terkenal Korea Selatan, Jungkook.
“Saya tak tahu promo lagu ini akan viral. Saya hanya perasan tentang kritikan itu sebelum ia viral. Saya pula tak buka sangat media sosial melainkan bila soal kerja.
“Ada kalanya, sosial media ini tak baik untuk kesihatan mental kita. Saya rasa semua orang merasakan hal yang sama.
“Saya okay sahaja. Bagi saya, komen-komen negatif ini lebih baik daripada tiada komen langsung. Baik atau tidak, ia merupakan maklum balas untuk saya perbaiki diri untuk keluarkan produk yang lebih baik.
“Ini merupakan proses pembelajaran buat saya. Hanya saya yang tahu apa yang berlaku di sebalik tabir. Lantaklah orang nak cakap apapun. Saya tahu usaha saya,” akhirinya.
Terdahalu, Sean telah pun diumumkan sebagai salah seorang pengara untuk anugerah berprestij, Gempak Most Wanted Award (GMWA) 2023 bersama tiga lagi hos iaitu Amelia Henderson, Sherry Alhadad dan Zizan Razak.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI