“Saya Bukan Senang Nak Suka Terhadap Seseorang Perempuan,” – Redza Rosli

Share

Pelakon, Redza Rosli,28, memilih untuk terus pandang ke depan dan menerima segala apa yang berlaku dalam sisi peribadinya sebelum ini sebagai penguat semangat.

Malah pemilik nama lengkap Ahmad Redza Rosli ini turut menyifatkan kini dirinya lebih matang.

“Setiap apa yang terjadi mungkin boleh terjadi pada orang lain juga. Bagi saya, kita tidak boleh lari daripada segala yang telah ditetapkan atau ditakdirkan.

“Apa yang saya letakkan pada diri, hidup perlu pandang ke depan. Saya tidak kisah apa yang orang nak cakap fasal saya kerana hanya saya yang tahu dan nilai diri sendiri.

“Saya terima dengan hati terbuka, buat saya lebih kuat dan matang untuk teruskan kehidupan,” katanya kepada MH.

Kini sibuk di lokasi drama rantaian terbaru lakonannya, Juliet untuk siaran RTM terbitan Zeel Production, Redza pada masa sama juga terbuka mengenai soal siapa jodohnya selepas ini.

“Saya sebenarnya tak minat sangat nak bercinta, sebab saya bukan senang nak suka terhadap seseorang perempuan.

“Saya tidak kisah soal siapa jodoh di masa depan sebab itu semua ketentuanNya. Lagipun bagi saya apa yang terjadi adalah sebab Dia nak uji sejauhmana hambaNya bersyukur.

“Mungkin Allah uji saya dengan kesusahan, untuk buatkan saya agar lebih berusaha.

“Mungkin juga Allah uji orang lain dengan kesenangan untuk melihat sejauhmana hambaNya bersyukur dengan apa yang ada,” katanya.

Ditanya mengenai dirinya kini rapat dengan mana-mana wanita ketika ini, Redza menjelaskan dia lebih selesa berkawan terlebih dahulu.

“Saya lebih suka berkawan dulu. Belum sedia nak bercinta, bagi saya ia buang masa nak suai kenal ni. Maksud saya macam ‘malas’.

“Daripada saya nak bercinta dengan orang lain, lebih baik saya ‘bercinta’ dengan keluarga sendiri,” jelas Redza lagi.

Sementara itu menerusi Juliet yang mempunyai 26 episod itu, Redza memegang watak sebagai Ashraf.

“Saya pegang watak sebagai Ashraf, anak tunggal yang disayangi. Bagaimanapun saya tidak tahu, bapa saya berkahwin dua dan mungkin saya punyai adik-beradik lain.

“Daripada situlah bermulanya konflik yang berlaku di dalam keluarga ini. Misalnya dari segi perhubungan, perebutan harga dan sebagainya.

“Saya teruja dengan drama ini sebab ia ada gandingan sama pelakon baru dan lama. Malah setiap kali mahu terima tawaran berlakon itu, saya lebih suka lihat kepada watak dan jalan ceritanya dulu.

“Soal memilih pelakon untuk digandingkan itu tidak, cuma saya memilih untuk sentiasa bekerja dengan orang baru. Mungkin daripada situ saya dapat ilmu serta pengalaman baru juga.

“Jika bergandingan dengan pelakon baru misalnya, saya tidaklah kedekut ilmu sebab ilmu yang saya dapat pun daripada pelakon senior juga seperti Zul Huzaimy, ibu Fauziah Nawi dan ramai lagi.

“Jadi ilmu yang saya ada, saya kongsikan misalnya kepada Rita Nadira semoga kami senang untuk kerjasama dalam drama ini.

“Biar masing-masing rasa selesa,” akhiri Redza yang bakal le lokasi drama Tak Sumpurna Mencintaimu untuk siaran Akasia juga terbitan Zeel Production selepas ini.

Juliet yang turut membariskan pelakon hebat lain seperti Rita Nadira, Rozita Che Wan, Haliza Misbun, Azza Elite, Sofia Ibrahim, Louisa Chong dan ramai lagi ini diarahkan oleh Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Published by
Rafiq Mazlan