Penyanyi, Tomok akui teruja apabila dapat menunaikan permintaan anak sulungnya Arrian Shah Akid untuk menyanyi di atas pentas bersama kumpulan New Boyz ketika konsert ulang tahun ke-25 yang berlangsung di Dewan Pleneri, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu.
Menurut Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, dia berharap agar momen tersebut akan menjadi kenangan indah dan akan diingati seluruh hayatnya.
“Kami memang tidak membuat sebarang perancangan. Sejak daripada awal New Boyz buat konsert di Kuala Lumpur dan Singapura, dia memang minta nak menyanyi.
“Saya minta dia tunggu dahulu sebab dua konsert tersebut merupakan pentas besar dan saya rasa kena bagi waktu supaya dia betul-betul bersedia.
“Kali ini, dia minta nak menyanyi lagi dan ajak saya berlatih. Saya anggap momen ini akan menjadi kenangan yang akan dia ingat sampai besar. Walaupun hanya sekejap, saya rasa ia kenangan manis buat Arrian,” katanya ketika sesi sidang media selepas berakhir konsert.
Semalam, Arrian mendapat tepukan gemuruh daripada 3000 penonton yang hadir saat menyanyikan lagu popular New Boyz, Hanya Tinggal Sejarah sambil diiringi muzik.
Malah, nyanyian Arrian itu juga turut tular di seluruh platform media sosial.
Dalam pada itu, Tomok memaklumkan dirinya tidak menghalang anaknya itu untuk menceburi bidang muzik namun, harus memberikan sepenuh tumpuan terhadap pelajaran terlebih dahulu.
“Saya bukan tak galakkan tapi untuk berada di dalam industri ini, ilmu juga sangat penting. Kalau betul-betul nak ceburi bidang seni, pelajaran kena cemerlang juga. Tak boleh tinggalkan pengajaran.
“Pelajaran kena letak sebagai nombor satu. Walaupun dalam bidang muzik, dia kena cemerlang mendalami segala ilmu muzik.
“Muzik ini sangat luas. Kita bukan boleh jadi penyanyi sahaja. Kita boleh hadi pemuzik, pengarah muzik dan macam-macam lagi,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Tomok memaklumkan dirinya lebih gembira sekiranya anaknya itu mencipta legasi sendiri untuk menceburi bidang muzik.
“Bila ada ilmu, ruang dan peluang dalam bidang muzik ini akan lebis luas. Saya tak nak dia hanya mengharapkan reputasi sebagai anak Tomok.
“Saya tak nak dia sebegitu. Saya nak dia berdiri dengan kaki dan usaha sendiri. Saya akan sentiasa sokong tapi kena belajar dahulu,” kongsinya lagi.
Terdahulu, menerusi konsert yang berlangsung pada Sabtu, New Boyz telah membawakan sebanyak 28 lagu yang bukan sahaja mengimbau nostalgia sekali gus meninggallan memori terindah buat peminat setia kumpulan itu.
Antaranya, Sejarah Mungkin Berulang, Meraung, Lukamu Lukaku Jua, Hadir di sisi, Dia, Ke Puncak Impian, Persis Kejora, Hiasan Di Laman Rindu, Lolita, Bicara Tentang Setia, Iye Iye Iyo, Sarena Cintaku, Kejora, Kau Abadi Selamanya dan Norkia.
Selain Tomok, New Boyz turut dianggotai Lan (gitar), Zimi (gitar), Afiez (gitar), Zack (bass) dan Ristoe (dram).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.