Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana mengakui tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dan gembira apabila lagu duet di samping Jaclyn Victor, Nisan Cinta menjadi antara 12 lagu terbaik yang bakal bersaing di Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) Februari depan.
Katanya, meski pada awal dia tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi, namun keputusan dari para juri profesional pada Muzik Muzik semi final lalu nyata memberi 1001 makna buat dirinya.
Buat pertama kali, penyanyi asal Negeri Sembilan ini berpeluang menyanyikan lagu sendiri di pentas berprestij itu.
“Sudah tentunya saya gembira sebab selama 18 tahun dalam industri, akhirnya saya berjaya juga menyanyikan lagu sendiri di AJL. Dulu memang pernah nyayi, tapi gantikan Syura.
“Menrusi lagu Candak, tahun 2006 kot,” katanya kepada MH.
Ujarnya lagi pada peringkat awal, lagu duet bersama Jaclyn Victor itu tidak tersenarai sebagai finalis AJL memandangkan lagu tersebut diumumkan lambat.
“Saya cakap dengan Jac, tak ada ni babe kita.So tidak mengapalah kita enjoy saja sebab kawan-kawan lain pun nyanyi juga. Tapi akhir sekali bila umumkan penyanyi dan pencipta lagu, itu yang terkejut .
“Macam tak sangka. Rasa terubat juga. Mungkin tahun lepas tak ada rezeki, jadi Dia berikan rezeki itu tahun ini rupanya…,” akhiri Nana.
Dalam perkembangan lain, Siti Nordiana bersama protogenya, turut bersaing dalam program realiti, Mentor 7 di TV3.
Foto: Instagram Siti Nordiana