Hiburan

“Saya Cakap Kepada Suami, Saya Amat Menyayangi Dia. Janganlah Buat Saya Hilang Kepercayaan,” – Elly Mazlein

Share

Pelakon dan pengacara terkenal, Elly Mazlein menyifatkan kepercayaan merupakan aspek paling penting dan perlu dipertahankan dalam perhubungan suami isteri demi membina keluarga yang bahagia.

Menurut Elly atau nama sebanarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, jika kepercayaan itu direntap, keharmonian rumah tangga tidak akan sama seperti sebelumnya.

“Saya cakap kepada suami, perkara ini mudah sahaja. Sebagai suami isteri, kita kena saling ada kepercayaan. Namun, jangan sampai pasangan kita hilang kepercayaan itu.

“Bila hilang percaya, bermula dari situ kita akan ragu-ragu dan susah untuk kembali percaya. Sebab itu ada wanita sering kali mesej dan telefon untuk bertanya keberadaan suami.

“Kalau kita tak pernah buat hal, pasangan akan sentiasa percaya. Itu yang saya buat sampai sekarang. Saya tak pernah periksa telefon atau dompet suami. Saya tak mahu ada hubungan yang toksik,” katanya kepada MH.

Pengacara program Kilauan Emas 2024 itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis Pelancaran Cawangan Kelima & Pengumuman Duta Merchant 9, di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam pada itu, Elly turut menasihatkan setiap pasangan suami isteri untuk berfikir panjang sebelum terdetik untuk melakukan perkara yang boleh meruntuhkan rumah tangga.

“Kita sudah besar panjang, berkahwin dan punyai anak-anak. Sebelum nak buat apa-apa, pertama sekali, fikirlah anak-anak dan keluarga.

“Pada saya, jika kita waras dan fikirkan kesan-kesan yang akan ditanggung anak-anak, kita tidak akan buat perkara yang bukan-bukan.

“Disebabkan nafsu yang sekejap, yang merana nanti anak-anak dan keluarga. Mereka yang akan tanggung malu,” kongsinya lagi.

Katanya lagi, tugas untuk memastikan keluarga sentiada dalam keadaan harmoni tidak seharusnya diletakkan kepada satu pihak sahaja.

“Saya cakap kepada suami, saya amat menyayangi dia. Janganlah buat saya hilang kepercayaan. Kalau sudah tidak percaya, rasanya tiada jalan lagi untuk bersatu.

“Papa tidak akan ada peluang. Ini juga nasihat untuk diri sendiri. Kalau ikutkan, kerja saya ini harus menjalani penggambaran dengan ramai orang. Macam-macam boleh jadi.

“Jangan fokus seorang sahaja. Suami dan isteri perlu sedar ruang dan kena tahu batas orang-orang yang sudah berkahwin,” akhirnya.

Terdahulu, Elly telah diumumkan secara rasmi sebagai duta kedia emas, Merchant 9. Malah, Merchant 9 juga turut melancarkan set barang kemas yang diberi nama Kepom Exclusive.

Selepas cawangan di Damai, Nilai, Sungai Besi dan Taman Tun Dr Ismail, kini cawangan ke lima Merchant 9 telah dibuka di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran di Wangsa Maju telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf