Pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki menimang cahaya mata hasil perkahwinan keduanya bersama pengurusnya yang dikenali Marcella pada Ogos lalu.
Menurut Afdlin atau nama sebenarnya, Afdlin Shauki Aksan, dia enggan meletakkan harapan terlalu tinggi mengenai hal zuriat kerana kerana sedar dirinya juga sudah berusia.
“Ada perancangan nak timang cahaya mata.
“Insya-allah, saya mencuba tetapi umur saya pun sudah tua,” katanya kepada MH.
Afdlin berkata sedemikian selepas ditemui di sidang akhbar filem Harimau Malaya The Untold Journey di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada Selasa.
Berkongsi mengenai kehidupannya selepas kembali bergelar suami sejak dua bulan lalu, Afdlin bersyukur semuanya berjalan dengan lancar
Pada masa sama, isterinya juga turut memberi sokongan penuh selain sangat memahami aktiviti seninya.
“Saya gembira, seronok serta lebih tenang selain makan dan minum kembali terjaga. Saya seronok dengan keadaan sekarang.
“Isteri juga banyak memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya. Kami juga kongsi minat yang sama dan merupakan rakan kongsi untuk bisnes.
“Malah, dia sangat memahami apa yang saya lakukan. Segalanya berjalan lancar” jelasnya.
Ditanya mengapa dia mengambil masa sebulan untuk mendedahkan berita pernikahan, Afdlin menjelaskan dia hanya ingin memberi ruang kepada isteri agar lebih bersedia selain mencari waktu yang sesuai.
“Saya sangat hormat isteri saya. Dia tak kisah kalau nak kongsi mengenai pernikahan kami tetapi saya mencari masa yang sesuai supaya dia okey dan betul-betul bersedia.
“Pada awalnya nak kongsi pada awal Ogos lalu tetapi sudah ada Pilihan Raya Negeri pula, risau ganggu fokus,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Afdlin memberitahu hubungan isterinya dengan anak-anak yang salah seorangnya aktres Mia Sara kini terjalin baik.
Jelasnya, majlis pernikahan juga diadakan secara tertutup dan kecil-kecilan sahaja.
“Dia dengan keluarga saya okey. Anak anak juga okey dengannya termasuk bekas isteri saya, Maria Christina Orow Abdullah.
“Anak anak beri respons yang baik. Hanya seorang anak saya hadir pada hari pernikahan namun hubungan kami semua tetap baik.
“Majlis pun memang diadakan secara kecil-kecilan sahaja. Tiada majlis yang besar pun. Kasihan juga dengan isteri saya tetapi dia okey sahaja dan tiada masalah.
“Majlis diadakan hanya nak beritahu dan memghalalkan sebuah perhubungan, itu sudah cukup bagi saya,” katanya lagi tanpa mendedahkan tarikh sebenarnya hari pernikahannya.
Pada September lalu, Afdlin mendedahkan dirinya sudah menamatkan zaman dudanya dengan Marcella pada Ogos lalu.
Sekadar informasi, Afdlin dan Christina berkahwin pada 1997 namun memutuskan untuk bercerai pada April 2022.
Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.