Satu perkongsian video usahawan viral yang juga pempengaruh, Iddin Syah ketika melakukan amal kebajikan dengan menghulurkan sumbangan di bazar Ramadan mengundang rasa kurang senang segelintir netizen di media sosial.
Ini kerana, ada yang mendakwa dia menunjuk-nunjuk dalam berbuat kebaikan.
Iddin yang juga pengasas produk kecantikan ESW berkata, dia tidak menyangka tindakan mulia yang dilakukan itu menerima komen negatif kerana niatnya hanya mahu berkongsi rezeki dengan orang lain.
“Sebenarnya sebelum ini pun saya buat (derma) cuma tak tunjuk, kita buat sendiri-sendiri sahaja. Tapi bila tak buat orang mempersoalkan pula, jadi kita tunjuklah untuk beritahu kita pun ada beri sumbangan.
“Lagipun sekarang ini bulan Ramadan, tak salah saya kongsi rezeki dengan orang lain, mana la tahu dengan apa yang saya tunjuk itu mungkin boleh jadi contoh kepada orang lain.
“Saya dah biasa kena kecam tapi bila baca komen yang kata bukan-bukan itu sedikit sebanyak membuatkan saya kecil hati sebab mereka seolah-olah tak beri sokongan atas apa yang saya buat,” katanya.
Menerusi TikTok, Iddin menyerahkan sumbangan kepada 500 orang pengunjung bazar Ramadan di Kuala Ketil, Kedah, baru-baru ini menjadi tular di media sosial.
Dalam rakaman itu, orang ramai dilihat beratur panjang bagi mendapatkan bantuan berupa beras, biskut dan senaskah al-Quran.
@iddinsyah.esw Sesungguhnya orang-orang yang bersedekahbaik laki-laki maupun perempuan danmeminjamkan kepada Allah pinjaman yangbaik, niscaya akan dilipat-gandakan(ganjarannya) kepada mereka; dan bagimereka pahala yang banyak.(Qs. Al Hadid: 18)#Esw #eswactivwhite #founderEsw #eswvitafit ♬ original sound – Iddin Syah Founder ESW
Bagaimanapun perkongsiannya ahli perniagaan berusia 27 tahun itu mengundang kecaman apabila ada yang menuduhnya sengaja ‘show off’.
Iddin pada masa sama menjelaskan, tujuannya berkongsi rakaman video berkenaan adalah kerana mahu memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya usahawan muda.
“Ini bukan kali pertama, tahun lalu saya viral sebab borong makanan peniaga bazar yang tak habis dijual… itu pun kena kecam!
“Apa yang saya kongsi ini sekadar nak beri inspirasi kepada orang lain terutamanya peniaga muda supaya mereka pun berminat nak hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Sekarang ini ramai orang susah, tak salah kita bantu-bantu. Lagi pun laman sosial saya banyak golongan muda, sekurang-kurangnya bila mereka tengok bolehlah jadi inspirasi nak membantu orang lain,” ujarnya lagi.
Iddin sebelum ini turut memuat naik beberapa sesi kebajikan yang dilakukan bersama pasukannya di Instagram.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.