Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Mr E’ mengesahkan dirinya ialah individu yang dikongsikan aktres dan penyanyi jelita, Erra Fazira di Insta Stories di Instagram bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-44, pada Jumaat.
MR. E yang juga seorang usahawan itu bagaimanapun menjelaskan, hubungan mereka setakat ini tidak lebih daripada hanya sekadar berkawan baik.
Akui Sedang Berkawan
“Ya, kami sedang bersahabat. Cuma saya tidak mahu ulas panjang mengenai perkara itu memandangkan saya bukanlah individu yang terlibat dalam dunia seni seperti Erra.
“Jadi saya lebih senang untuk mengambil pendekatan ‘low-key’ memandangkan kami pun hanya berkawan baik dan tidak lebih daripada itu.
“Memang saya dan Erra sudah kenal sudah lama cuma baru sahaja kami rapat dan saya pun terkejut apabila berita berkaitan keluar sebab pada masa sekarang, kami hanya berkawan sahaja.
“Saya harap perkara ini tidak memberikan tekanan kepada Erra mahu pun saya sendiri. Apa pun, saya ucapkan terima kasih atas doa yang baik-baik,” katanya kepada MH.
Terdahulu pada Jumaat, Erra menerusi Insta Stories menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran untuk seorang individu yang kemudiannya tular di media sosial.
Malah ada yang mula berteka-teki apabila hantaran tersebut ditujukan kepada sesesorang yang tidak dimaklumkan identitinya, selain turut menggelapkan foto terbabit.
Menerusi hantaran sama, Erra juga menyifatkan individu itu sebagai lelaki yang menenangkan hatinya.
Malah pengurus aktres berkenaan iaitu Sharendra Abd Razak turut mengesahkan mereka kini dalam fasa mengenal hati budi masing-masing.
Senang Dengan Personaliti Erra
Sementara itu, ditanya sejauh mana akrab hubungan bersama penerima dua kali trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) itu lagi, lelaki terbabit menyifatkan Erra sebagai wanita yang matang.
“Sudah tentu saya senang dengan sikapnya sebagai wanita yang profesional, matang dan boleh dibawa berbincang mengenai apa sahaja. Jadi keakraban itu wujud atas dasar keserasian.
“Malah personaliti baiknya itu yang membuatkan kami terbuka untuk saling berkawan. Tak lebih daripada itu,” katanya lagi.
Terdahulu, MH melaporkan Erra mengakui dia dan lelaki misteri masih dalam fasa berkenalan namun dirinya belum boleh perincikan mengenai hubungan tersebut kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Erra bagaimanapun berterima kasih kepada semua pihak mendoakan yang baik-baik.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI