Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana mengakui dia tidak rasa penat atau ‘terseksa’ apabila menyampaikan dua buah lagu di saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik yang pertama, Jumaat lalu.
Malah, bintang ini mengakui mendapat rehat serta tidur yang cukup untuk membuat persembahan menerusi dua buah lagu, Hatiku Milikmu dan Satukan (duet bersama Khai Bahar) pada persembahan yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral itu.
“Saya dapatkan tidur yang cukup dan ada melakukan beberapa latihan. Biasanya sebelum buat persembahan pada waktu malam, saya akan menyanyi di rumah atau dalam kereta untuk biasakan diri.
“Tidaklah rasa tak selesa. Okay sahaja, enjoy je. Bila dengar balik dan maklum balas yang diterima pun okay. Saya tidaklah nak kata saya sudah puas hati, saya rasa masih boleh lakukan yang lebih baik.
“Cuma untuk malam ini saya rasa, tiada masalah atau ada isu penat dan sebagainya. Rasanya saya sudah bersedia untuk dua persembahan di semi final ini,” katanya kepada MH.
Siti Nordiana atau mesra disapa Nana berkata demikian sebagai mengulas reaksi sesetengah pihak yang membayangkan persembahannya pada malam berkenaan tidak berapa meyakinkan.
Malah, ada yang menyifatkan nyanyiannya pada malam itu juga kurang merdu seperti kebiasaannya gara-gara turut beri fokus dengan komitmen lain.
“Kalau nak diikutkan mengenai pembahagian masa dengan nyanyian serta lakonan, kadang-kadang kita tiada piihan. Kena lakukan sahaja yang sudah dijanjikan.
“Amanah yang diberikan saya cuba buat sehabis baik, sama ada dalam lakonan atau nyanyian. Saya tiada pilihan memang kena harung walau kalau nak diikutkan setiap hari kerja memang penat. Sementara ada permintaan tu, kita cubalah berikan masa,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Nana kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri, Satukan Rasa yang masih lagi berbaki.
Satukan Rasa yang kini bersiaran menerusi slot Drama Vaganza di Astro Ria dan Ria HD turut menampilkan Khai Bahar, Nine, Shasha Abedul, Yusuf Bahrin, Isyariana, Che Kem, Nina Juren dan ramai lagi.
Foto: Instagram Siti Nordiana