Pertemuan empat mata pengacara popular Neelofa bersama pereka fesyen terkenal Michael Kors baru-baru ini bukanlah sekadar pertemuan biasa.
Apa tidaknya, usahawan dan hos itu sempat mengisi masa bersama lalu berkongsi beberapa topik.
Tidak hanya berbicara mengenai ruang lingkup fesyen secara global semata, pengasas Naelofar itu mengambil peluang keemasan tersebut untuk bertanya serba sedikit mengenai perihal modest fashion (fesyen busana sopan) dan hijab.
“Saya diberi peluang untuk meluangkan masa bersama Michael Kors selama 10 minit dan peluang tersebut digunakan sebaik mungkin untuk bertanya pendapatnya tentang modest fashion yang semakin mendapat perhatian dan penerimaan orang luar.
“Michael Kors memberitahu saya, beliau mereka busana bukan untuk kelompok individu tertentu sahaja, ianya meliputi kesemua tidak mengira perbezaan warna kulit, usia, ketinggian, saiz dan termasuk untuk mereka yang mahukan pakaian sopan,” kata Neelofa.
Pada masa sama, Lofa turut memberitahu pereka tersebut mengakui ada mempelajari mengenai hijab menerusi rakan model, Ugbad yang turut terlibat di dalam pertunjukkan fesyen di bawah labelnya baru-baru ini.
“Michael turut menjelaskan, beliau banyak belajar daripada model berhijab bernama Ugbad yang diberi kepercayaan menjadi peragawati pembuka bagi pertunjukan fesyennya baru-baru ini.
“Menerusi Ugbad, Michael dapat mempelajari bahawa hijab datang dalam pelbagai saiz. Katanya, hijab boleh distailkan dalam bentuk turban dan boleh digayakan samada ke kiri, kekanan atau kebelakang.
“Michael turut memberi sedikit bayangan sesuatu yang istimewa mungkin akan dilakukannya untuk koleksi musim depan. Semestinya saya tidak menyangkakan itu jawapan yang saya terima dari beliau” kongsi Lofa jujur.
Malah, bintang ini turut memuat naik sesi temu bual bersama mogul fesyen itu di Instagram.
Neelofa berada di New York, AS bagi memenuhi jemputan New York Fashion Week SS20 sejak minggu lalu.
Menjadi antara selebriti lokal yang paling banyak menerima jemputan bagi menonton pertunjukkan fesyen, Neelofa turut berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen label terkemuka seperti Long Champ, Tommy Hilfiger dan Tory Burch.
Neelofa sebelum ini berkesempatan untuk mengikuti sesi fitting yang turut menemukannya dengan seorang lagi pereka terkenal, Tommy Hilfiger.