Penyanyi Adira Suhaimi tidak akan sesekali menghalang suami, Datuk Seri Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red untuk bertemu dengan anak-anak meskipun kini di dalam proses penceraian.
Menurut Adira, dia dan Datuk Red masih berstatus suami isteri dan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
“Pada saya, selagi belum bercerai, kami masih pasangan suami isteri tapi kita tahu jarak dan tujuan kita setakat ini sampai di mana.
“Jadi, saya tak nak bergaduh disebabkan penceraian ini. Saya juga tak mahu sekat hak suami bersama anak-anak. Saya pun bukan selalu ada di rumah. Suami juga begitu.
“Dia akan datang pada waktu yang sepatutnya,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, penyanyi lagu Pujaan Hati ini juga menyifatkan anak-anaknya itu amat memerlukan kasih sayang daripada seorang bapa.
“Saya juga tidak menghalang untuk dia tidur di rumah selagi statusnya masih suami saya.
“Anak-anak tetap memerlukan ayah mereka. Kalau boleh saya nak berpisah secara baik, matang dan tenang. Saya tak mahu hadapi sebarang gangguan.
“Dia ada hak untuk ambil tahu tentang anak-anak dan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Adira memaklumkan dirinya bersedia untuk sama-sama menjaga anak-anak dengan suami meskipun selepas bercerai.
“Saya tak kisah dan tidak akan timbul sebarang isu mengenai hak penjagaan. Saya juga datang daripada keluarga yang ibu bapa bercerai.
“Saya tidak dibesarkan oleh bapa dan hanya ibu sahaja. Saya tak nak mereka rasa begitu juga. Kami boleh jaga sama-sama
“Suami boleh sahaja datang dan ambil anak-anak pada bila-bila masa sahaja. Yang penting mereka boleh rasa kasih sayang daripada kedua-duanya,” akhirinya.
Terdahulu, Adira memfailkan perceraian dengan suaminya, Datuk Red atau Datuk Seri Adnan pada 25 Oktober, tahun lalu.
Sehubungan itu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menetapkan 5 Mac depan bagi keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik Adira dan suami berhubung proses penceraian mereka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.