Penyanyi Nubhan Ahamad tabah selepas diuji dengan positif Covid-19 sejak 16 September, meski dirinya sudah lengkap menerima dua dos vaksin kira-kira dua bulan lalu.
Bagaimanapun suami kepada Dr Afifah Hidayah Tawfek itu memaklumkan yang dia kini sudah bebas daripada wabak berkenaan.
Menurut Nubhan, ketika disahkan positif wabak itu, isteri dan dua anaknya didapati negatif.
“Saya dikuarantinkan selama 10 hari di Pusat Kuarantin Swasta di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Pada 26 September lalu, saya sudah potong gelang merah jambu menandakan bebas daripada penyakit berkenaan.
“Saya positif wabak itu buat kali pertama dengan simptom tertentu seperti sakit kepala seperti kena denggi, rasa seram sejuk, hilang deria rasa dan bau.
“Saya bersyukur kerana berjaya mengharungi detik sukar itu meski kena berjauhan dengan keluarga. Memang kita semua nak elak daripada terkena jangkitan wabak itu. Tapi malang tak berbau. Saya akur,” kata penyanyi lagu Ada Untukmu.
Nubhan pada masa sama menambah, dia juga mula sedar bahawa lengkap vaksinasi, ia bukan jaminan kebarangkalian terkena COVID-19 takkan berlaku.
“Doktor cakap, walaupun sudah lengkap vaksinasi, mereka boleh terkena wabak itu sama ada menunjukkan simptom atau sebaliknya.
“Benar kita berusaha suntik vaksin sebagai salah satu ikhtiar. Tapi itu juga bukan alasan yang kita akan selamat dan tak kena COVID-19.
“Pendek kata, memang kena terus jaga diri dan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Sebelum ini pada 2 Ogos lalu, kakak serta abang iparnya, turut disahkan positif COVID-19.