Secara eksklusif menyanyikan salah satu single terbaharu, Sehebat Matahari dalam Konsert Satu Suara Vol. 3 baru-baru ini, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyatakan dia bakal tampil dengan album terbaharunya yang dijangka dilancarkan penghujung tahun ini.
Menurut Siti, sebanyak tujuh buah lagu sudah disiapkan termasuk Sehebat Matahari serta runut bunyi (OST) filem Anwar: The Untold Story iaitu Menjaga Cintamu.
“Sebenarnya saya sudah siap merakamkan sebanyak tujuh buah lagu pada bulan Ramadan lalu termasuk Menjaga Cintamu dan Sehebat Matahari sementara bakinya masih belum sempat kerana kekangan kerja lain.
“Jika mengikut perancangan, InsyaAllah tahun ini saya akan terbitkan album baharu yang mengandungi 12 buah lagu.
“Suara saya pun baru nak baik dan semakin banyak perubahan,” katanya kepada MH.
Siti ditemui baru-baru ini sebaik usai menjayakan Konsert Satu Suara Vol. 3 yang turut disertai Jay Jay dan Ernie Zakri, bertempat di Mega Arena Star, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.
Berkongsi lebih lanjut mengenai album baharu itu, Siti berkata dia banyak menggunakan khidmat komposer muda bagi memberikan ‘fresh look’ dalam keseluruhan karya-karya tersebut.
“Saya banyak menyanyikan lagu komposer baharu dalam album ini. Yang seronoknya saya diminta menyanyi dengan gaya lebih fresh atau segar dan ia membuat saya kembali belajar menyanyi.
“Selain itu, saya kembali bekerjasama dengan Melly yang tidak pernah menolak untuk memberikan karya buat saya,” katanya lagi.
Susulan album baharu itu, Siti juga bercadang untuk mengadakan konsert solonya tahun depan bagi memperdendangkan lagu-lagu baharu menerusi persembahan itu nanti.
“Lepas keluar album baharu tahun ini, saya akan adakan konsert solo tahun depan.. boleh nyanyi lagu baharu nanti,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.