Selepas hampir 12 tahun mencuba nasib menyertai pelbagai program nyanyian, penyanyi Farhan Mustapha memanjatkan rasa syukur selepas dinobatkan sebagai juara Gimme The Mic Malaysia 2024.
Menurut Farhan, pada mulanya, dia agak fobia kerana perjalanannya di program nyanyian sering kali terkandas di pusingan separuh akhir.
“Saya sudah menyertai pelbagai program pertandingan nyanyian di televisyen. Misalnya pada tahun 2012, saya masuk Bintang RTM namun, tersingkir di separuh akhir.
“Saya kembali ke Bintang RTM pada 2014, tetap juga tersingkir di separuh akhir.
“Bila sertai Akademi Fantasia 2015, saya tak lepas konsert prelude. Masuk Mentor Millennia, tersingkir pula di minggu pertama dan Gimme The Mic ini adalah momen saya.
“Sejujurnya pada minggu separuh akhir, saya risau. Bimbang badi separuh akhir berulang. Bila dapat ke final dan bergelar juara, saya memang bersyukur,” katanya sepada MH.
Penyanyi berusia 28 itu berkata sedemikian ketika ditemui sejurus final Gimme The Mic Malaysia di Auditorium CIDB, Cheras pada Ahad.
Pada masa sama, Farhana lega kerana berjaya menampilkan persembahan terbaik meski berdepan masalah kesihatan.
“Sejujurnya saya memang tidak menjangkakan langsung akan bergelar juara. Semua yang bertanding malam ini hebat belaka.
“Sebenarnya, pada malam ini, saya tidak berapa sihat. Saya baru sahaja pulih daripada demam Influenza A.
“Sebelum buat persembahan, suara saya sejujurnya memang sudah pecah. Saya cuma buat yang terbaik dan mungkin ini anugerah Tuhan,” ujarnya lagi.
Farhan menambah, kejayaannya ini adalah hasil berkat kesabaran selama ini walau ada pihak yang ragui akan kemampuannya.
“Sebelum ini, saya pernah sertai sebuah syarikat rakaman. Mungkin mereka tak nampak bakat dan menghargai saya.
“Apa yang saya dapat malam ini, mungkin berkat kesabaran saya selama ini. Pada saya, kunci kejayaan adalah sabar,” kongsinya.
Ditanya mengenai kekuatan semangatnya yang tidak pernah menyerah untuk terus membuktikan kemampuan sebagai penyanyi, Farhan akui keluarga menjadi semangat terbesar.
“Apa yang saya buat ketika ini adalah untuk menyambung legasi arwah bapa. Kerana itu, saya tidak putus asa.
“Saya yakin pada rezeki. Itu yang membuatkan saya terus bertahan.
“Sepanjang 12 tahun ini, keluarga yang menjadi sumber kekuatan saya. Kini saya sudah berkahwin, isteri dan anak juga semangat saya,” akhirnya.
Terdahulu, Farhan telah dinobatkan juara Gimme The Mic Malaysia sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan lebih RM29,000.
Farhan juga bakal mengetuai cabaran bersama lima pemenang Grand Six yang lain untuk mewakili Malaysia bertanding di Gimme The Mic Global bersama peserta-peserta antarabangsa.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI