Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz mendedahkan dirinya tidak akan menegakkan benang yang basah bila bercakap mengenai soal melakonkan babak bersentuhan bersama pelakon wanita.
Menurut Aliff, soal hukum hakam tidak boleh diubah mengikut cita rasa sendiri dan dia kini sedang berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik.
“Pada saya, kalau perkara itu tidak betul, kita tak boleh nak menegakkan benang yang basah. Saya cuma hamba Allah yang masih lemah dan mencuba memperbaiki diri setiap hari semampu saya.
“Saya mohon kepada semua pihak untuk mendoakan perkara yang baik-baik bukan sahaja untuk saya tetapi semua pihak yang terlibat di dalam drama Cina Buta ini.
“Saya tidak akan komen sama ada perkara itu boleh atau tidak. Soal hukum hakam ini tak boleh diubah ikut cita rasa kita. Jadi, saya memohon maaf terlebih dahulu sekiranya ada pihak yang tidak bersetuju. InsyaAllah saya akan perbaiki lagi,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Sayang-Sayang ini berkata sedemikian ketika ditemui dimajlis sidang media drama Cina Buta baru-baru ini.
Lantaran itu, dua berharap agar semua pihak dapat mendoakan yang terbaik bukan sahaja buat dirinya tetapi seluruh tenaga kerja drama terbarunya, Cina Buta.
“Setiap hari adalah proses pembelajaran. Saya harap agar perkara ini tidak menjadi sebab untuk semua pihak mencaci. Lebih baik kita doakan yang baik-baik kepada orang lain.
“Kita juga akan peroleh manfaatnya nanti. Malaikat juga akan doakan yang sama untuk kita. Kalau kita pilih untuk memaki, kita juga akan terkena tempias tak baik itu, kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Aliff akui teruja apabila lakonannya di dalam drama ini mendapat pujian menggunung daripada pengarah, Shahrulezad Mohameddin.
“Alhamdulillah. Bila dengar sendiri daripada Abang Ijad, memang lain rasanya. Kata-katanya itu sangat baik. Watak Aliff Syukri yang saya bawakan dalam drama ini terhasil daripada tunjuk ajar beliau.
“Beliau seorang pengkarya yang sangat profesional tapi pada masa sama tidak terlampau tegasz Beliau beri peluang untuk kita explore sendiri watak tersebut. Ini pengalaman terbaik saya sepanjang bergelar pelakon.
“Pada mulanya saya agak gementar kerana saya kenali Nad Zainal sebagai seorang pelakon yang disegani. Bila dapat berlakon didalam drama yang sama, ia momen yang sangat menyeronokkan,” akhirinya.
Terdahulu, Cina Buta mengisahkan tentang pasangan suami isteri, Sharnaaz dan Mia Sara yang mempunyai ego tinggi dan sering bergaduh sehingga mereka bercerai buat kali yang ketiga.
Drama ini turut dibintangi barisan pelakon-pelakon hebat seperti Nad Zainal, Ungku Ismail, Azhan Rani dan ramai lagi.
Cina Buta bakal menemui penonton bermula 9 November ini pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, di slot Mega Drama Astro Ria (104) atau Astro Go.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.