Sosialit dan bintang rancangan realiti, Paris Hilton menafikan laporan wartawan Page Six yang mengatakan dia sedang mengandung anak sulung hasil hubungan bersama tunangnya, Carter Raum. Personaliti popular ini mengambil peluang untuk menjelaskan perkara sebenar menerusi platform podcast miliknya, This Is Paris Podcast.
Dalam perkongsiannya, dia yang pernah popular dengan rancangan Simple Life sempat bergurau sebelum memberi penjelasan,“Ya saya sedang mengandung kembar tiga.” Sambil ketawa dia kemudian berkata, “Tidak, saya tidak mengandung. Saya menunggu momen selepas berkahwin baru mahu memikirkan soal anak.”
Jelasnya lagi, ketika berita ini tersebar sebaik sahaja bangun tidur, dia menerima lebih 3000 mesej di telefon bimbitnya mengucapkan tahniah dan gembira.
“Ia sangat menjengkelkan apabila sesetengah pihak boleh membuat berita berdasarkan andaian mereka sahaja. Mereka patut melakukan pengesahan sebelum menyebarkan perkara itu kepada khalayak ramai,” ujarnya berkongsi perasaan apabila dihujani dengan berita yang tidak sahih.
Paris sebelum ini pernah berkongsi kisah tentang keinginannya untuk mengandung dan bersedia untuk menjalani proses IVF bagi mendapatkan bayi. Khabarnya, cadangan ini diberikan kepadanya oleh sahabat lama dan juga bekas pembantu peribadinya, Kim Kardashian.
Menginginkan sepasang anak lelaki dan perempuan, pewaris empayar Hotel Hilton yang berusia 40 tahun ini nampaknya sudah bersedia menjadi seorang ibu. Paris bertunang dengan Carter Raum pada 13 Februari tahun ini ketika sedang bercuti di salah sebuah pulau persendirian.
Terbaharu, dia akan muncul dengan racangan masakan Cooking With Paris yang akan disiarkan bermula 4 Ogos ini di Netflix.
Sumber: Yahoo News, Vulture, Yahoo Sport!
Sumber gambar: Instagram Paris Hilton