Janna Nick tidak menafikan dirinya rasa terkejut kerana terpaksa menari selain bersilat dan menyanyi bagi menyempurnakan jalan cerita untuk naskhah teater fiksyen bangsawan yang bakal dilakonnya, Pawana Isabella bermula 21 Ogos depan.
Katanya kepada MH, pengarahnya Erma Fatima ada menyatakan permintaan tersebut ketika hari kelima sesi latihan.
“Ketika mula hari latihan yang kelima, Mama (Erma Fatima) ada meminta untuk saya menari. Jadi bila kena menari, ia semacam satu kejutan untuk saya.
“Untuk ‘hadam’ hal yang mengejut macam ni, kena ambil masa dan bila tengok langkah tarian yang saya kena buat tu, saya hampir menangis, sampai terduduklah,” katanya jujur.
Terdahulu, bintang Cari Aku Di Syurga ini ditemui pada sidang media pementasan Teater Malayu-Pawana Isabella yang berlangsung di Istana Budaya, baru-baru ini.
Ia merupakan percubaan kedua Janna dalam pementasan teater selepas pementasan sulungnya, Teater Zombi La La sebelum ini.
Terang Janna lagi, selain menari antara babak yang lainnya termasuklah bersilat dan menyanyi. Lebih sukar, skrip yang diberikan juga tidak boleh diubah kerana dikhuatiri akan memberi maksud berbeza dari jalan cerita.
“Pada masa sama ia turut melibatkan elemen silat juga. Saya tidak pernah menari sebelum ini. Saya memang tak boleh menari, sama juga dengan silat.
“Di sekolah dulu, saya adalah libatkan diri dalam taekwando dan muay thai, ia memang sangat berbeza berbanding silat. Sekarang ni saya berada dalam keadaan yang tak berapa nak stabil,” seloroh Janna.
“Saya memang ada belajar untuk menari dan silat, jadi saya berilah yang terbaik dan semampu mungkin. Kita banyak perkara yang kami kena serap menerusi teater tersebut, lebih-lebih skrip tidak boleh diubah langsung, kena hafal satu-satu,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada dirinya ada memberikan pendapat atau menyuarakan hasrat untuk tidak melakukan babak tarian yang dirasakan agak mencabar bagi dirinya itu, Janna akui ada menyatakan kesukaran yang dialami kepada Erma.
“Saya ada suarakan mengenai tarian, kalau boleh saya tak nak menarilah. Kenapa perlu saya menari, tapi Erma tetap cabar saya. Katanya kalau nak jadi pelakon yang hebat, kena lakukan.
“Lalu saya anggap ini cabarannya buat saya dan cuba untuk sahut cabaran tersebut,” terangnya yang masih berbaki kurang dua minggu sebelum ia dipentaskan di Istana Budaya sebelum latihan penuh,” akhiri Janna yang mendukung watak sebagai Permaisuri Isabella.
Teater Malayu-Pawana Isabella bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 21 Ogos hingga 31 Ogos ini.
Teater arahan Erma Fatima bersama Naque Ariffin itu turut membariskan bintang hebat antaranya Azar Azmi, Johan Raja Lawak, Ozlynn Waty, Datuk Afdlin Shauki, Datin Paduka Umie Aida, Datuk Ziela Jalil, Shahronizam dan ramai lagi.
Tiket boleh dibeli di kaunter Box-Office Istana Budaya dengan harga RM48 hingga RM188.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI