“Saya Hanya Hamba Allah Yang Biasa,” – Tash Young Kembali ‘Free Hair’, Minta Maaf Iman Tak Cukup Kuat

Share

Pelakon dan penyanyi, Tash Yong memohon maaf selepas mendedahkan dirinya kini sudah tidak lagi mengenakan hijab sepenuhnya.

Menurut Tash Yong atau nama sebenarnya Nur Natasha Shazlia Rosli, sebagai manusia biasa, dia akui imannya kini tidak cukup kuat.

Bagaimanapun, dia masih lagi berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik.

“Saya nampak ramai sangat yang terganggu bila tengok saya sudah tidak bertudung pula. Ini perkara yang ingin saya bagitahu, saya lahir dalam keluarga seni.

“Memang sejak azali saya merupakan seorang yang free hair. Tak lama kemudian, saya mula berhijrah serta belajar mengaji, solat dan perbaiki diri.

“Saya dah pun cuba pakai tudung sebelum ini tapi pada sama saya minta maaf kerana saya hanya hamba Allah yang biasa. Iman saya tak cukup kuat,” katanya.

Pendedahan tersebut dikongsikan sendiri oleh pelakon drama siri KL Gangster: Underworld 2 itu menerusi sebuah video di laman Instagram.

Dalam pada itu, Tash Yong turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah menitipkan doa dan ucapan yang baik buat dirinya.

“Bila saya buka tudung sekarang, tidak bererti saya buka untuk selamanya. Saya masih lagi mencuba untuk jadi elok semula.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan bercakap yang baik-baik. Saya doakan sesiapa sahaja yang mendoakan kebaikan buat saya, semoga yang baik juga pergi kepada kalian semua,” kongsinya lagi.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat selain turut mendoakan semoga Tash Yong terus kuat bagi menghadapi fasa ini.

Terdahulu, Tash mula memakai tudung ketika sambutan Aidiladha pada September 2020 lalu dan pernah mengharapkan dirinya terus istiqamah bertudung ketika itu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Tash Yong

Published by
Aizam Manaf